‘Ibrah Daripada PJJ

Apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita, ada hikmahnya yang besar jika kita melihatnya secara positif. Sebab itu ALlah mengatakan kepada kita bahawa Dia tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehinggalah kaum itu sendiri mengubah apa yang ada di dalam dirinya. Perubahan yang dimaksudkan dalam ayat ALlah ini tentunya perubahan ke arah yang positif, natijah daripada melihat dan merenung serta muhasabah ke dalam diri tentunya dengan cara yang POSITIF! Jika tidak, pandangan negatif dan rintihan kesedihan yang berterusan tidak membawa seseorang itu ke mana-mana kecuali kemurungan dan kesedihan.

Allah telah mentakdirkan saya dan suami menghadapi kehidupan berasingan (tterpisah dengan jarak) dalam tempoh yang mungkin tidak begitu lama sekitar setahun 9 bulan. Kami yang bersepakat dan bersetuju dengan pilihan ini, dan masing-masing bersedia. Alhamdulillah, tempoh ini adalah saat2 yang sukar dalam kehidupan masing-masing, namun memberikan kesan mendalam kepada diri saya khususnya. Allah memberi saya ujian ini, agar saya mendapatkan dan belajar sesuatu. Ya, banyak sekali yang saya belajar, yang saya baru sedar, yang saya rasai dalam tempoh ini.

Mengenali hakikat ‘ubudiyyah yang sebenar.

PJJ ini menyedarkan saya bagaimana penghayatan yang sepatutnya saya rasai sebagai hamba-Nya. Saya disentak oleh Allah bahawa selama ini tanpa sedar kehadiran suami dalam hidup, seolah-olah selama ini saya menjadikannya andaada atau sekutu dengan Allah. Bukanlah bermaksud selama ini saya menghambakan diri kepada suami, tetapi kehadirannya menyebabkan kebergantungan kepada suami kadang kala melebihi kebergantungan diri kepada Allah. Apabila suami tiada di sisi barulah saya sedar hakikat kealpaan saya selama ini. Justeru, PJJ ini mengingatkan saya bahawa saya perlu berusaha lebih keras agar tumpuan dan fokus pergantungan kepada Allah itu sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan dengan amalan-amalan yang boleh saya lakukan seperti qiyamullai, puasa sunat, tadabbur al-Quran dan sebagainya. Suami itu hanyalah manusia biasa sama seperti kita yang Allah berikan keistimewaan qiwamah padanya, bukannya ubudiyyah.

Merasai Peritnya Menjadi Ibu Tunggal

Saya juga merasai bagaimana rasanya menjadi seorang isteri yang ditinggalkan suaminya sama ada suami itu meninggal dunia, atau bercerai atau ditinggalkan tanpa tali dan sebagainya. Perit yang saya rasai itu bukanlah keperitan dari sudut ekonomi, tetapi keperitan emosi khususnya dalam mendidik anak-anak. Apatah lagi jika si ibu tiada sumber ekonomi yang kukuh, keperitannya berganda-ganda. Mendidik anak tanpa suami adalah satu perjuangan besar. Ibu mampu memberi kasih sayang dan kelembutan, tetapi dalam masa yang sama himmah si ayah juga sangat penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Mendidik anak untuk melakukan solat, belajar al-Quran, dan sebagainya lebih mudah dengan penyeliaan daripada seorang ayah berbanding ibu. Anak-anak lebih mudah mengikut arahan bapa berbanding ibu.

Justeru, ibu-ibu tunggal ini adalah golongan yang sangat memerlukan bantuan dan keprihatinan daripada masyarakat dan pihak kerajaan. Islam juga sangat menitikberatkan perihal anak yatim, salah satu hikmahnya adalah untuk mengurangkan bebanan ibu tunggal. Bantulah mereka semampunya.

Allah Menghilangkan  Satu Suami Dari Sisi, Tetapi Menggantikannya Dengan Ribuan Tangan Yang Mahu Membantu

Allah Maha Penyayang. Begitulah Dia. Namun hikmah ini hanya akan hadir jika kita tidak memencilkan diri daripada masyarakat dan orang ramai. Hubungan baik dengan manusia perlu dijaga, barulah bantuan akan datang arah yang tidak disangka-sangka. Memencilkan diri dan memutuskan hubungan dengan masyarakat hanya menambah keperitan dalam hidup. Warnai kehidupan dengan berinteraksi sesama jiran tetangga dan masyarakat. Sertai aktiviti bersama, berikan bantuan mengikut kemampuan, di samping sentiasa memelihara kehormatan diri Pada berinteraksi itu, tersimpan himpunan hikmah baik yang berpanjangan, insyaAllah..:)

PJJ yang perit tetapi indah..

Malam Qadr

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤) سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1)
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2)
Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3)
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (4)
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! / (5)

Bumi Itu Dirindu Kerana Apa?

 

Bumi itu dirindu kerana apa?

Keluargaku di sini

Aku juga di sini

Medan sebenar aku juga di sini..

 

Lantas, bumi itu dirindu kerana apa?

Di bumi itu aku kembali mengenal diri

Siapa Tuhanku selama ini

Di situ aku hayati bahagia dalam derita

berasa ada walaupun tiada

berasa lapang dalam sempit

berasa damai dalam ribut

berasa kuat dalam lemah..

 

Ya, ia sukar digambarkan

Walau bumi itu hanya persinggahan

Namun ia plot besar yang mengubah kehidupan

Lalu, jangan kau sebut bumi itu dirindu kerana apa..

Bagaimana Membuat Susu Pekat Sendiri?

Homemade susu pekat (gambar sebenar, bukan hiasan)
Homemade susu pekat (gambar sebenar, bukan hiasan)

Ini adalah post pertama saya yang berkaitan makanan dan resipi. Entah mengapa, saya sangat teruja untuk berkongsi cara membuat susu pekat sendiri ini, mungkin kerana tidak menyangka bahawa kita boleh buat sendiri susu itu!

Bagi yang berada di Malaysia, mungkin homemade susu pekat ini agak mahal kosnya berbanding susu pekat di pasaran. Tetapi bagi anak perantau khususnya di negara-negara yang memiliki harga produk tenusu yang rendah di pasaran, ia sangat berbaloi.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mementingkan kesihatan, nutrisi dan kepuasan hati, walaupun harga setin susu pekat turun harga selepas GST sekalipun, mereka pasti mahu mencubanya! (Poyo sungguh ayat ini…:) )

Resipinya mudah;

1 liter susu segar (susu UHT pun boleh)

1 cawan gula (boleh kurangkan jika mahu kurang manis, ia baik untuk kesihatan)

Esen vanila ( agak2 dalam 1 sudu teh)

secubit baking powder (pilihan, bukan mandatori)

Cara membuatnya, lagi mudah. Masukkan semua sekali ke dalam periuk dengan api sederhana besar. Sentiasa kacau susu. Apabila susu mula menggelegak dan pekat, kecilkan api dan tutup apabila tekstur bertukar kekuningan dan pekat sebagaimana susu pekat di kedai itu. Pastikan sentiasa kacau dan jaga api untuk mengelakkan penyakit hati kuali iaitu kerak..

Hasilnya, memang mengujakan! Saya juga berfikiran, dengan asas yang sama kita juga mungkin boleh membuat sapuan coklat sendiri mengikut citarasa masing-masing. Bebas dari was-was terhadap Nutella dan lain-lain jenama pastinya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada makcik Fareedah ibu kepada rakan pengajian kami di sini (Nurul Hanilah)  yang tidak lokek berkongsi. Malah semalam kami diajarkan juga cara membuat kuew tiaw, sos cili dan ais krim dengan kos yang minima dan impak yang maksima! Alhamdulillah…

Di Manakah Peranan Bapa Dalam Pendidikan Anak-anak?


Pendidikan yang dimaksudkan dalam tulisan ringkas ini adalah pendidikan tauhid dan pembinaan iman anak-anak, kerana inilah pengisian terpenting dalam membina insan, khalifah di muka bumi ini. Tanpanya, insan tiada nilai sisi Yang Maha Esa, Allah Rabbul Jalil.

Biasa kita mendengar, ibu adalah institusi utama dalam membentuk dan mentarbiyyah anak-anak. Kenyataan ini benar tetapi kurang tepat. Allah Taala memberi petunjuk dan panduan kepada kita melalui Al-Quran akan hakikat ini. Jika kita meneliti ayat-ayat Allah ini, kita akan dapati bahawa bapa merupakan tunggak utama dan terpenting dalam pendidikan pembinaan akidah tauhid anak-anak, isteri dan ahli keluarganya.
Mari lihat ayat-ayat Allah Taala ini;

1. وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (Surah Luqman:13)
13. dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar”.

2. وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (surah al-baqarah: 132)
132. dan Nabi Ibrahim pun berwasiat Dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam”.

3. …إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ… (surah al-baqarah:133)
133. … ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah Yang kamu akan sembah sesudah Aku mati?” mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu …

4. قَالَ يَا بُنَيَّ لَا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا (surah yusuf:5)
5. bapanya berkata:” Wahai anakku! janganlah Engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana Aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh Yang nyata bagi manusia.

Jika diteliti ayat pertama hingga ketiga menunjukkan bagaimana seorang bapa memberikan nasihat dan pendidikan iman kepada anak-anaknya dalam bentuk agar mereka tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain, juga pesanan dan peringatan tentang tanggungjawab mereka sebagai penyebar risalah tauhid dan penegasan agar berpegang dan istiqamah dengan dinul Islam sehingga akhir hayat mereka.

Manakala ayat keempat pula menunjukkan hubungan erat antara seorang bapa dan anaknya yang memberikan nasihat tentang tindakan yang perlu dilakukan oleh anaknya kerana kemampuan si bapa melihat dengan bijaksana kemungkinan masa hadapan berdasarkan pemerhatian semasa. Bermaksud beliau memberikan jalan dan pilihan yang lebih baik kepada anaknya. Semuanya ditunjukkan oleh Allah melalui peranan seorang bapa.

Manakala peranan seorang ibu Allah Taala menggambarkannya dengan sikap dan sifat perbuatan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kasih sayang dan cintanya terhadap si anak. Justeru digambarkan perbuatan dan susah payah mereka mengandung, melahirkan, menyusukan, mendoakan dan ikhtiar agar anaknya mampu terus hidup dengan baik walaupun dirinya sendiri berhadapan dengan risiko yang pelbagai. Perkara ini jelas maksudnya melalui kisah ummu Musa, Hajar ibu nabi Ismail a.s, imraah ‘Imran dan Maryam ibu nabi Isa a.s. Persamaan antara mereka adalah semuanya atas dasar patuh kepada Allah dan bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata.

Sorotan ringkas ini memberikan iktibar kepada kita bahawa ibu dan bapa kedua-duanya berperanan besar dalam pendidikan iman anak-anak mereka. Namun, Allah menunjukkan kepada kita fokus dan keutamaan setiap pihak dalam memenuhi tanggungjawab tersebut. Bapa perlu memberikan nasihat, pengisian agama kerana ini sisi peranan besar mereka yang selari dengan fitrah manusia di mana kata-katanya lebih kuat memberi kesan dan pengaruh terhadap anak.
Oleh itu kita biasa melihat dan mengalami apabila bapa memberikan arahan, anak sukar sekali menolaknya kerana haybah yang ada padanya. Begitu juga seorang ibu bukan bermaksud dia tidak perlu memberikan nasihat kepada anaknya, tetapi sisi pengorbanan dan kasih sayangnya lebih berbekas berbanding kata-katanya.

Justeru, berkatalah dengan nasihat dan wasiat iman wahai para bapa kerana diammu tidak memberikan apa-apa faedah terhadap tarbiyyah iman anak-anak. Namun jangan dilupa, kata-kata itu harus diikuti dan dilazimi dengan amal kerana di situlah qudwah hasanah akan memberikan kesan. Juga sebagaimana nabi Yaakub a.s tetap mengambil berat tentang perkara ini sehingga akhir usianya ketika semua anak-anaknya sudah matang dan dewasa begitulah juga para bapa sepatutnya lakukan. Anggapan bahawa apabila anak-anak dewasa mereka sudah memilih jalan mereka sendiri dan tidak lagi memerlukan nasihat adalah salah.

Begitu juga apabila anak-anak dirasakan tidak menjadi, janganlah jari dituding kepada ibu semata-mata tanpa melihat kepada diri sendiri sebagai seorang bapa. Hakikatnya tugas lelaki ini sangat berat, kerana tarbiyyah imaniyyah isteri dan anak-anak terletak di pundaknya dan bakal dipersoalkan kelak.

Cerita Di Sebalik Kelahirannya..’Ammar.

'Ammar dan Aalaa'
‘Ammar dan Aalaa’

Ini kali pertama saya membuka kisah ini secara umum. Sengaja saya merekodkannya buat ingatan kemudian hari, bahawa Allah adalah segalanya buat hamba-Nya. Lagi pula, boleh saya merehatkan minda sebentar daripada letih menulis tesis, walaupun jari jemari masih menaip. Ini kisah 3 tahun lebih yang lalu.

Temujanji Awfa ke klinik desa awal tahun 2011 itu, membawa saya ke dalam dilema dan ujian yang sangat besar dalam hidup, walaupun bagi yang tidak melaluinya ia nampak kecil. Saya mengambil suntikan rubella setelah jururawat bertanyakan saya dan saya menerimanya tanpa banyak soal walaupun pernah mengambilnya ketika tingkatan satu. Dengan keyakinan yang kuat kerana memang kami merancang untuk tidak hamil dalam tempoh terdekat sebagaimana syarat pengambilan suntikan ini, maka di situlah bermulanya dugaan Allah buat saya dan suami

Tidak dijangka, saya hamil selepas sebulan dari suntikan diambil. Allahu Akbar! Bertanyakan ahli keluarga terdekat yang juga seorang doktor, beliau menyarankan saya ke klinik untuk mendapatkan ubat supaya haid kerana kandungan baru 4 minggu. Saya makan, namun Allah Maha Besar, tiada apa berlaku. Hati sudah gusar kesan fakta-fakta yang dibaca di internet janin yang ibunya dijangkiti rubella atau menerima vaksin rubella di awal kandungan bakal mengalami kecacatan yang tidak perlu disebutkan di sini. Pastinya ia membuatkan saya dan suami berada di persimpangan antara menerima ketentuan Allah atau cuba untuk menentukan pilihan yang pada sangkaan kami lebih baik untuk masa hadapan iaitu, menggugurkan!

Seterusnya, kami berjumpa pakar O&G di DEMC, 6 minggu hamil. Dengan persepsi dan keyakinan bahawa ‘lebih baik puan gugurkan’ daripada doktor pakar tersebut, saya dibekalkan dengan 6 biji pil bulat besar untuk tujuan itu. Bil juga mahal. Itu biasa. Yang tidak biasa, hati saya semakin bergelora sayu. Sehari demi sehari dilalui, tiada yang kering dari air mata. Tikar sejadah setiap malam dihampar, memohon petunjuk dari-Nya, adakah harus aku menelan ubat itu? Dan si kecil itu setiap saat semakin berkembang di bawah lindungan-Nya, dalam 3 kegelapan yang sangat melindungi. Subhanallah..

Detik-detik dilalui hambar, berselang seli dengan rutin kehidupan biasa dengan anak-anak yang sedia ada dan kerjaya. Saya masih tidak menelan ubat itu, walaupun saban hari melihatnya. Fatwa-fatwa dan pendapat ulama’ diselongkar, dan jelas ada keharusan untuk menggugurkan jika ada nasihat daripada pakar dalam tempoh sebelum 120 hari. Fakta-fakta sains dan forum-forum berkaitan semua dicari jika ada sisi yang berbeza. Kes sebegini memang ada berlaku, dan kebanyakannya tidak berakhir sebagaimana teori perubatan tentang kecacatan itu. Itu memberikan saya sedikit kekuatan, tetapi masih tidak cukup kuat.

Ya Allah, kuatkan hatiku dan suami. Berikan kami jalan keluar yag terbaik. Kekhuatiran menerima anak cacat sangat kuat sehingga melemahkan pilihan untuk menerima apa saja ketentuan-Nya. Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Adik saya yang bekerja di Hospital Putrajaya ketika itu mengatakan bahawa ada pakar O&G di situ yang mengendalikan 2 kes sebegini. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik, bayi normal! Bertambah kekuatan, namun belum cukup kuat. Ubat itu masih saya simpan walaupun belum ditelan. Aku perlukan lagi kekuatan Ya Allah..

Hadir tiba-tiba dalam hati, ‘cuba call Dr Zulkifli al-Bakri’.. Dengan mudah saya mendapatkan nombor beliau dan terus menelefonnya. Ketika itu waktu petang, di pejabat, beberapa minit sebelum saya pulang. Alhamdulillah panggilan berangkat dan kedengaran suara yang biasanya saya dengar dicorong radio IKIM fm setiap petang Jumaat itu. Masalah dinyatakan secara ringkas dan terus. Beliau menjawab,’Memang ada keharusan untuk menggugurkan dalam kes puan ini, tetapi… saya rasa elok teruskan. Dia sudah hidup’. Jawapan itu ringkas, tetapi sangat kuat dan padat buat saya. Kekuatan yang menetapkan jiwa dan hati saya bahawa kandungan ini akan diteruskan. Air mata bercucuran, kerana Dia memberikan jawapan melalui sebab yang terbaik buat saya, melalui fatwa hati seorang ulama! Ya, fatwa hati ulama’ yang wara’..

Balik ke rumah, ubat itu saya buang supaya tidak hadir was-was syaitan yang membolak balikkan hati. Alhamdulillah, ketenangan hadir, redha menyelubungi hati. Sehinggalah akhirnya selepas itu Allah mengurniakan jalan-jalan yang pelbagai yang hadir sebagai nikmat kepada kami sekeluarga. Bayi itu lahir di bumi anbiya’. Suatu perkara yang tidak pernah saya jangka dan rancang untuk berlaku, tetapi itulah ketetapan-Nya Yang Maha Mengetahui. Semoga anak ini membesar sebagai mujahid agama dan penyebar risalah Allah di bumi ini.

Buat akhirnya, dalam menghadapi apa saja ujian dalam hidup ini, rujuklah para ulama’ yang dipercayai, kerana daripadanya lahir keberkatan, meskipun zahirnya bertentangan dengan fakta-fakta yang sedia ada. Allahu Akbar!

 

 

Masa Kerja 8-3?

Sekadar idea spontan yang timbul, kesan pemerhatian saya terhadap masa kerja di bumi Syam ini. Kebanyakannya bermula 9 pagi atau lebih awal sikit iaitu 8 pagi dan berakhir jam 3 petang. Saya lihat mereka santai dalam bekerja, kurang tekanan dibandingkan dengan waktu kerja kita di Malaysia yang kebanyakannya ‘8 to 5’. Keluar awal pagi gelap, sampai rumah juga senja. Wajarkah idea ini, masa kerja bermula dari 8 pagi dan berakhir jam 3 petang?

Justifikasi saya, secara ringkas;

1. Tekanan kerja dan rutin yang menyesakkan dada, khususnya bagi yang berkeluarga. Anak perlu diurus seawalnya, masa bekerja sendiri juga perlu ditepati menyebabkan tiada pilihan lain selain keluar di awal pagi. Ditambah dengan tempat kerja yang berjauhan dengan rumah, traffic jam, dan sebagainya lagi. Sekurang-kurangnya dengan masa pulang yang lebih awal hati rasa lebih tenang dan tenteram.

2. Kadar peratus wanita bekerja yang tinggi di Malaysia. Tenaga wanita sangat diperlukan dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan dan perubatan. Justeru, pemendekan masa bekerja mengurangkan sedikit tekanan fizikal dan emosi wanita lalu lebih banyak waktu untuk keluarga dan anak-anak.

3. Pemendekan masa mengurangkan produktiviti negara? Dahulu ketika kerajaan persekutuan mula melaksanakan cuti 2 hari seminggu sebagaimana yang dilakukan pertama kalinya oleh kerajaan negeri Kelantan, alasan ini adalah antara yang ditimbulkan. Kini, setelah pelaksanaan itu, adakah anda mendapati perkara itu berlaku? Jawab sendiri. Apa yang penting bukan panjangnya masa, tetapi bagaimana kita mengurus masa yang ada itu.

4. Keluarga adalah unit asas dalam pembentukan sebuah negara yang berkualiti dan makmur. Keluarga yang bahagia dan kurang konflik melahirkan masyarakat yang dinamik dan kurang masalah sosial, insya Allah.

Wajarkah idea ini dibahaskan dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan?

Apa Ada Di Sebalik Demo Itu?

Saya sedang asyik dengan skrin dan ‘keyboard’ komputer riba di perpustakaan, bilamana tiba-tiba keasyikan itu direnggut dengan seruan takbir dan kata-kata semangat dari demonstrasi para pelajar UJ tentang serangan di Gaza. Hati tersentuh, jiwa berkobar-kobar, lantas semangat meningkat dan membara untuk segala-galanya, untuk perjuangan..

Kenangan terus membawa kenangan silam lebih kurang 13 tahun yang lalu tika saya juga seperti mereka, bergelar mahasiswa. Demo itu mudah disebut, namun sukar diamal. Awalnya, ia perlu jihad hati agar berjaya mengatasi segala kerisauan dan ketakutan yang tak pasti, lantas minda akan mengarah tubuh badan untuk bergerak dan menuju ke arahnya. Satu, dua, tiga demo, dan seterusnya… Ia kenangan yang bukan setakat manis untuk dikenang, tetapi kekuatan dalaman yang menjadi tunggak kekuatan untuk terus berjuang demi kemenangan Islam. Insya Allah..

Dalam isu pergolakan antara Gaza dan zionis Israel ini, ia bukan setakat isu sengaja menjolok sarang tebuan yang memakan diri, keluarga dan anak-anak. Ia tragedi yang punyai sejarah yang panjang yang harus dihayati, padanya juga ada maruah dan kesahan jati diri muslim dan Islam, padanya juga janji Allah yang pasti yang harus ditadabburkan. Perhatikanlah surah al-Isra’, lihatlah juga surah al-Baqarah yang cabang dan rantingnya menceritakan tentang Bani Israel dari asal kejadian dan sifatnya. Ia bukan isu enteng yang bermusim, tetapi perlu diperjuangkan secara berpanjangan, salah satu caranya, demo.. Dan pastinya pemuda adalah penggerak utamanya.

Seingat saya, semasa zaman mahasiswa dahulu, bukan setakat satu demo menentang kekejaman Zionis Israel ini bahkan lebih dari itu. Di hadapan kedutaan Amerika, di Masjid Negara, di perkarangan universiti dan sebagainya. Demo bukan saja-saja mengukur kekuatan tubuh badan dan jiwa, tetapi padanya ada semangat dan solidariti berpanjangan yang perlu diperjuangkan selagi kemenangan belum dicapai, di samping jalan-jalan menuju kemenangan Islam yang lain.

Jika saudara-saudara mujahidin kita di Gaza berada pada medannya yang sebenar berhadapan dengan senjata sebenar sama ada menang atau syahid, demo adalah salah satu jalan mengukur nisbah kekuatan diri kita dengan mereka secara zahir. Jangan pandang enteng demo itu, kerana padanya ada sesuatu yang tidak ternilai.

Allah ma’ak ya Mutazahiriin..

Ayat Mereka, Ayat Aqidah Sahih.

Catatan 5 tahun yang lalu, masih valid dan akan sentiasa valid..

myawfa

Allahu Ghaayatuna

“Innii la akhafu Israel. Hasbiyallahu ni’mal wakil..” Sesungguhnya saya tidak takut Israel. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pelindung. Kata Abbas kanak-kanak lelaki Palestin berusia 10 tahun.

“La akhaf. Innallaha saufa yubaddil ‘ala maa faata minna” Saya tidak takut/risau. Sesungguhnya Allah akan menggantikan apa yang telah hilang dari kami. Seorang lelaki Palestin dengan ceria berkata kepada rakan-rakannya.

Seorang jurucakap Hamas berkata dalam satu majlis yang diadakan di Selangor Jumaat lalu berkata, “Hamas cukup dibenci dan digeruni oleh Israel kerana sentiasa berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup. Agenda Israel adalah menghancurkan umat Islam di sini daripada segala segi seperti pendidikan, ekonomi dan pentadbiran dan paling utama cuba hancurkan agama Islam itu sendiri,”

“Kami bersedia untuk mati syahid. Itulah cita-cita kami. Jika seribu daripada kami gugur akan muncul seribu lagi pejuang yang sanggup berjuang untuk membebaskan bumi suci ini.” Seorang pejuang Hamas berbicara kepada wartawan Majalah 3.

View original post 353 more words

Al-Quran Di Bulan Ramadhan; Antara Tilawah Dan Tadabbur

 

 

Alhamdulillah, untuk ke sekian kalinya Allah menganugerahkan kita berada dalam lingkungan nikmat Ramadhan 1435H tahun ini. Ini nikmat yang tidak bertepi, yang tidak dapat lagi dikecapi oleh mereka yang telah  kembali ke alam baqa’. Namun kita juga mungkin termasuk dalam golongan yang tidak dapat merasai nikmat ini jika kita tidak benar-benar memanfaatkannya bahkan lalai daripada menambah ibadah padanya. Salah satu cara memanfaatkan Ramadhan adalah dengan berada akrab dengan al-Quran.

Banyak dipaparkan di media sosial tentang mesej dan kempen untuk menghabiskan bacaan satu juzuk untuk satu hari ataupun lebih dari itu. Ini sesuatu yang sangat baik dan sangat dialu-alukan. Tapi adalah yang afdhal di samping kita menghabiskan bacaan sehingga khatam seluruh ayat al-Quran itu, untuk kita mendapat penghayatan daripada pembacaan itu tadi, kerana itulah merupakan hadaf utama al-Quran diturunkan iaitu memberikan petunjuk dan panduan kehidupan kepada manusia dalam menghadapi hidup seharian di dunia ini. Oleh itu, cara sebenar kita berta’amul atau berkomunikasi dengan al-Quran adalah dengan tilawah juga tadabbur. Dan yang pasti tadabbur adalah maksud yang pertama dan terakhir dari pembacaan al-Quran.Tilawah, insya Allah kita lazim, namun tadabbur sedikit sekali aplikasinya.

Apa maksud tilawah?

Syeikh Ibnu Utsaimin dalam kitabnya Majalis Syahr Ramadhan menghuraikan cakupan makna tilawah dalam dua perkara :

Pertama – Tilawah hukmiyah, iaitu membenarkan segala informasi Al Qur’an dan menerapkan segala ketetapan hukumnya dengan cara menunaikan perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya.

Kedua – Tilawah lafdziyah, iaitu membacanya. Inilah yang keutamaannya diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Bukhari:

خَيرُكُم مَنْ تعَلَّمَ القُرآنَ وعَلَّمَه

Bermaksud:Sebaik-baiknya diantara kamu adalah yang belajar Al- Quran dan yang mengajarkannya.

Masyarakat kita umumnya mengambil pengertian tilawah dengan makna yang kedua. Justeru, maksud inilah yang saya maksudkan dalam penulisan ringkas ini.

Apa maksud tadabbur?

Allah banyak menyatakan di dalam al-Quran antaranya, dalam surah Sod:29:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Bermaksud:Sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamum yang banyak faedahnya untuk mereka memahami ayat-ayatNya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna mengambil peringatan.

Dalam surah Muhammad:24:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Bermaksud: Adakah mereka tidak memahami al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci yang menutupnya?

Dari segi bahasa kalimah tadabbur berasal dari kalimah dubur yang bermaksud hujung pada sesuatu, adalah yang berada di belakang atau sebaliknya. Jadi, tadabbur al-Quran bermakna seseorang pembaca al-Quran tidak sekadar berhenti pada zahir makna kalimatnya sahaja, atau hanya memahami terjemahannya sahaja, bahkan dia melihat apa yang terkandung di sebalik lafaz sama ada dari segi maqasid dan matlamat sesuatu perkataan itu digunakan. Oleh sebab itu, para ulama dan ahli tafsir telah mengistinbathkan banyak sekali kesimpulan-kesimpulan dan tafsiran mereka terhadap kalam Allah ini sehingga ia menjadi satu ilmu yang sangat luas tidak bertepi sesuai sebagaimana firman Allah yang menunjukkan keluasan ilmu yang dimiliki-Nya, berbanding dengan apa yang manusia ada. Firman-Nya dalam surah al-Kahfi:109;

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

Namun, kita bukan ulama’. Apa yang harus kita lakukan untuk merealisasikan tadabbur ini dan mengambil istifadah daripadanya? Salah satu cara untuk yang boleh dan perlu kita lakukan adalah dengan membaca tafsir-tafsir al-Quran yang sedia ada. Tidak perlu semua, cukup dengan satu tafsir anda akan dapati nikmatnya tadabbur al-Quran dan manisnya akan lebih dirasai melalui amal.

Bagaimanakah kaedahnya, saya bekerja di siang hari, atau saya suri rumah yang tidak lekang dari melayan kerenah anak-anak dan sebagainya lagi situasi kita yang kita anggap sibuk. Kaedah usul fiqh menyebut, ‘apa yang tidak mampu dibuat semua, jangan tinggalkan semua’. Berikut beberapa cadangan untuk kita memulakan tadabbur pada bulan ini, dan diteruskan pada bulan-bulan akan datang.

  1. Habiskan 1 juzuk sehari, dan baca tafsirannya kesemua sekali.
  2. Jika tidak mampu, baca 1 juzuk sehari dan baca tafsiran ayat-ayat tertentu yang anda rasakan penting.
  3. Atau, bacaan al-Quran tidak sehingga 1 juzuk, dan baca kesemua sekali tafsiran ayat yang anda baca itu.

Pilihan di atas adalah mengikut kesesuaian masa masing-masing, bukannya mengikut keutamaan. Saya secara peribadi dengan situasi dan ruang masa yang saya ada memilih pilihan ketiga sebagai kaedah tadabbur saya. Anda mungkin punya situasi sendiri, yang penting baca dan pilih satu kitab tafsir yang anda sukai.

Apakah kitab tafsir terbaik untuk saya baca?

Secara umumnya, semua kitab tafsir yang bertepatan dengan tafsiran ahli sunnah wal jamaah sesuai dan terbaik untuk dibaca, kerana setiapnya mewakili uslub dan metod tertentu serta berdasarkan kemampuan dan pengetahuan yang anda ada. Jika anda mampu memahami bahasa Arab dengan agak baik (tidak perlu terlalu baik), bacalah tafsir dalam bahasa Arab melalui buku keras atau tafsiran melalui media elektronik (Maktabah Shamelah, atau laman web al-Tafsir dan lain-lain). Antara kitab tafsir yang agak ringkas dan bagus untuk dibaca seperti Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Imam Ibn Kathir (m774H), Tafsir Fi Zhilal al-Quran oleh Sayyid Qutb (m1966), Tafsir Sofwat al-Tafasir oleh al-Sobuni (m1930), dan Tafsir Khowatir oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (m1418H).

Jika anda tiada asas dalam bahasa Arab, bacalah kitab tafsir terjemahan dalam bahasa kita, antara yang saya tahu Tafsir Fi Zhilal al-Quran oleh Sayyid Qutb (m1966), juga  Tafsir al-Azhar oleh Pak Hamka, dan Tafsir Pimpinan al-Rahman, juga buku-buku tafsir yang menulis tafsiran surah-surah tertentu juga sesuai untuk dibaca. Pendek kata, dapatkan sumber untuk pembacaan anda berdasarkan situasi dan kemampuan masing-masing, kerana yang penting adalah anda membaca dan cuba mentadabbur al-Quran daripadanya.

Kesimpulannya, baca al-Quran, baca tafsiran dan tadabburlah! Kerana ia merupakan kunci untuk hidayah menerpa masuk ke dalam hati agar kita semakin akrab dengan Allah dan semakin indah hidup dengan memahami Islam. Jika anda tidak memulakannya hari ini, sama sajalah Ramadhan kali ini dengan yang telah lalu, ganjaran membaca tetap ada, tetapi penghayatan berterusan tiada. Tanpa membaca tafsirannya, seolah-olah kita menutup hidayah buat diri sendiri.

Selamat Bertadabbur..