“Dialah orangnya”

doa“Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan” (Surah Shaad ayat 26)

Dalam isu politik Perak yang semakin hangat, saya juga tidak kurang menerima selitan-selitan komen yang agak memberangsangkan. Terima kasih diucapkan kepada para pemberi komen.

Perkara keadilan yang saya ingin tonjolkan kekadang mengundang pelbagai persepsi. Oleh itu saya berhajat membawa  beberapa perkara pokok dalam kepimpinan. Syarat-syarat menjadi seorang pemimpin

Samada seorang itu menjadi amir, mufti, kadi (hakim) atau seorang yang pada hari itu sebagai menteri, wakil rakyat, penghulu dan lain-lain lagi, ia haruslah tertakluk kepada syarat-syarat asas lainnya daripada syarat khas dan am yang berkaitan dengan tugas dan jawatan masing-masing boleh dikatakan syarat-syarat asas itu telah ijma’ ulama’ nengenainya. Diantaranya ialah:

1. Muslim,’akil baligh dan laki-laki

2. Adil ertinya ia tidak fasik seumpama tidak meninggalkan solat, beramal apa yang ia ketahui. Tidak menyalahi katanya akan perbuatannya. Tidak menyalahi akan kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

3. Berilmu ertinya ia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu ai’n dan fardhu kifayah sehingga dapat membezakan diantara yang maaruf dan yang mungkar. Mengetahui perkara-perkara’yang berkaitan dengan kepimpinan.

4. Mempunyai kudrat, kemampuan. Ertinya boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan samada menggunakan tenaga; perkataan, tulisan atau flkiran di dalam apa suasana pun.

5. Beradab mengikut akhlak Islam, Ertinya seseorang pemimpin haruslah mampu memberi contoh tauladan mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang di bawah kepimpinannya. Selain itu di dalam dirinya mengandungi sifat ikhlas, jujur tidak angkuh, ria’ dan sebagainya. Ringkasnya terkumpul di dalam dirinya sifat-sifat terpuji dan jauh dari sifat-sifat terkeji.

6. Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan.

Memahami Al-Quran dan Al-Sunnah

Ciri terpenting dalam perjuangan dan kepimpinan Islam bagi meluaskan sedikit huraian syarat ketiga di atas maka seorang pemimpin yang menamakan dirinya sebagai barisan pemimpin Islam, tahap yang paling minima haruslah ia mampu membaca ayat al-Quran dan petikan-petikan hadith serta memahami maksudnya.

Lebih jauh dapat menghafal ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut. Lebih jauh lagi memahami (ilmu Al-Quran hadith). Membaca Siratul Rasul, sahabat-sahabat, salaful salihan,dan riwayat hidup ulama-ulama. Membaca dan mengenali kitab-kitab yang Muktabar di bidang Tauhid, Fikah, Tasauf, Tafsir, Hadith.

Dapat memahami mana yang ijmak dan mana yang ikhtilaf, mana yang usul dan mana yang furu’. Berkaitan dengan ini sedapat mungkin haruslah seseorang pemimpin itu mengetahui bahasa arab, kerana kitab-kitab yang original yang berkaitan dengan perkara tersebut kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab.

Akibat daripada tidak memahami dan mengetahui hal-hal tersebut, kadang-kadang boleh menimbulkan berbagai-bagai kesan yang tidak baik dalam kepimpinan, hingga merebak kepada masyarakat yang lebih besar, yang boleh mencacatkan kesempurnaan Islam.

Pemimpin Islam menegak yang maaruf dan mencegah yang mungkar

 Perkara yang maaruf merangkumi semua perkara yang dituntut dan yang diharuskan oleh syara’ meliputi soal-soal akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin. Perkara yang “mungkar” ialah semua perkara yang bertentangan dengan akidah, dengan syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin.

Selanjutnya Qadi Al Khudah Abdul Jabar bin Ahmad menjelaskan bahawa “yang maaruf” itu terbahagi kepada apa yang wajib dan kepada apa yang sunat. Menyuruh yang wajib adalah wajib , dan menyuruh yang sunat adalah sunat. Kerana keadaan perintah tidak akan menambahkan ; atas hal-perbuatan yang disuruh, pada-wajib. Adapun kemungkaran itu semuanya merupakan satu jenis sahaja di mana semua ianya wajib ditegah.

Oleh itu pimpinan Islam dalam mana peringkat dan bahagian pun haruslah menjadi matlamat utamanya menegakkan kemaarufan dan mencegah kemunkaran di mana dan bila-bila masa sekalipun.

Kisah Umar Al Khattab

Umar r.a.hu kerap memegang sehelai jerami sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini”. Kadang-kala dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!”

Pada suatu ketika Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah dengan satu pengaduan yang berkehendakkan pembetulan. Umar mencemeti orang itu dibahagian bahunya.

Umar berkata: “Bila aku duduk hendak menerima pengaduan, engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting engkau datang menggangui aku.” Tanpa berkata apa-apa orang itu pun meninggalkan Umar.

Sejurus kemudian ia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjukkan cemeti tadi padanya Umar berkata: “Pukullah aku sebagai membalas perbuatan tadi.” Kata orang itu: “Saya mengampuni awak kerana Allah s.w.t”.

Kekesalan Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali kerumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri seperti berikut: “Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah s.w.t.. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah s.w.t. dan Dia telah memberi kamu kuasa keatas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan dihadapan Allah s.w.t.?” Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali.

Pada suatu malam Umar sedang meronda disuatu tempat dipersekitaran kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada.

Dia berkata: “Nun ditengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu khalifah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka.” Setibanya mereka ditempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air, sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.

Umar: “Mengapa kanak-kanak ini menangis.”

Perempuan: “Kerana mereka lapar.”

Umar: “Apa yang ada didalam cerek itu?”

Perempuan: “Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan yang makanan sedang disediakan untuk mereka. Ah! Allah s.w.t. akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku didalam keadaan begini.”

Umar:(Menangis) “Semoga Allah s.w.t. mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu!”

Perempuan: ” Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya.”

Umar balik kekota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang.

Apabila karung tadi telah penuh Umar pun berkata kepada Aslam: “Letakkan karung ini keatas belakangku Aslam.”

Aslam: “Tidak, tidak, ya Amirul Mu’minin! Biar saya yang memikulnya.”

Umar: “Apa! Adakah engkau yang akan memikuli dosaku dihari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulinya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini.” Dengan perasaan serba salah Aslam meletakkan karung itu diatas belakang Umar.

Dengan diikuti oleh Aslam dia telah berjalan dengan pantas menuju khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak kedalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api. Kata Aslam: “Saya melihat asap mengenai janggutnya.”

Sebentar kemudian makanan itu pun siaplah. Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kenyang perut kanak-kanak itu, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata: “Semoga Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar.”

Umar melipurkan hati perempuan itu lalu berkata: “Apabila kamu datang berjumpa dengan khalifah, kamu akan menjumpai aku disana.”

Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang Umar telah bertanya kepada Aslam: “Kamu tahu tak mengapa aku duduk disitu beberapa ketika?Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan.”

Mengikut riwayat ketika mengerjakan solat fajar Umar sering membaca SURAH KAHF, TOHA dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf kebelakang.

Pada suatu subuh ketika membaca ayat SURAH YUSUF yang bermaksud: “Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah.” (SURAH YUSUF-86) Dia telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya. ( TANBIHUL GHAFILIN )

Konklusi

Wahai kaum muslimin, kisah-kisah Umar yang baru saja diceritakan sepatutnya dijadikan bahan rujukan oleh kita bersama. Umar diketahui umum merupakan kesatriaan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat mengecutkan perut pemusuh-pemusuh Islam.

Namun demikian dihadapan Allah s.w.t. dia menangis ketakutan. Dimanakah seorang Raja atau Pemimpin negara yang bersedia menunjukkan belas rahimnya kepada seorang hamba rakyatnya yang hina seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Umar? Demikianlah kesucian, kemurnian dan ketinggian sopan santun yang dikehendaki oleh Islam, agama yang kita semua akui sebagai penganut-penganutnya.

Kisah Politik di Perak adalah kisah ‘stereotype’ yang hampir sama di banyak tempat cuma watak dan waktu yang berbeza. Saya bersetuju dengan cadangan dan pendapat Prof. Dr. Aziz Bari, pakar Perlembagaan Malaysia iaitu seharusnya kes ini dipulangkan kepada rakyat kerana rakyat yang memilih mereka. Hak yang sah adalah daripada rakyat untuk rakyat.

 Jika pemimpin kini seperti Umar Al Khattab, yang selalu menangisi kesalahannya. Saya kira dunia akan aman. Umar Al Khattab telah dijanjikan syurga dan Rasulullah sendiri ada bersabda yang antara lain maksudnya jangan mengkeji sahabat-sahabatnya, sekiranya dibuat perbandingan dengan apa sekalipun maka ianya tidak sedikit pun sama dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh para sahabat.

Jika kepentingan dunia diambil kira sememangnya kita tidak dapat lari daripada unsur-unsur menyebelahi mana-mana pihak.

Sabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta.” (Riwayat At Tarmizi)

Ditakuti harta menjadi pertimbangan dalam membuat keputusan. Jika inilah yang berlaku kita geruni bala Allah akan menimpa kepada kita yang tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan keadaan. Wallahua’lam

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s