Apa Lagi Kalian Mahu?

Isteri dilayani, isteri disantuni. Ah, manisnya berumahtangga..
Isteri dilayani, isteri disantuni. Ah, manisnya berumahtangga..

 

Saya tidak akan berhenti mengulas tentang gerakan feminisme ini. Saya ambil perenggan ini daripada akhbar Mingguan Malaysia 15 Februari 2009 yang lalu. Apa yang paling menyedihkan ialah Dato’ Seri Shahrizat dan Pak Lah sendiri memberi sokongan dan galakan terhadap gerakan ini.

“Musawah ia ingin membina satu gerakan global yang menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam. Mereka mendakwa kebanyakan wanita kini adalah pencari nafkah dan pelindung bagi keluarga mereka. Namun, undang-undang kebanyakan negara Islam masih kekal dengan kerangka perundangan klasik iaitu suami pencari nafkah sementara isteri patuh dan taat.”

Saya tidak pasti apakah yang sebenarnya mereka mahukan. Adakah mereka mahukan hak kepimpinan dalam rumahtangga menggantikan suami mereka? Ataupun mungkin mereka mahu keluar dari kerangka patuh dan taat itu lantas bebas membuat apa sahaja keputusan berkaitan rumahtangga tanpa pengetahuan suami? Mungkin juga mereka mahu lari dari sebarang tanggungjawab namun menginginkan hak?

Apapun kehendak mereka, saya berpendapat mereka mencabar Allah s.w.t sebenarnya. Kerana apa? Kerana Allah telah jelas lagi bersuluh menyatakan tentang hak suami isteri ini di dalam al-Quran.

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” al-Baqarah 228

Perkahwinan dalam Islam bukanlah kontrak pemilikan dan perhambaan. Tetapi ia adalah akad yang mewajibkan hak-hak bersekutu sama rata mengikut kemaslahatan bersama antara kedua-dua pihak. Dalam ayat ringkas di atas ada 3 hukum;

1. Terdapat kesamarataan hak dari segi hak dan kewajipan suami terhadap isteri dan isteri terhadap suami iaitu layanan yang baik, komunikasi yang baik, tidak melakukan kemudaratan, kewajipan bertaqwa kepada Allah, ketaatan dan galakan berhias antara satu sama lain.

2. Setiap suami isteri hendaklah menunaikan hak batin kepada pasangan apabila diperlukan supaya tidak berlaku kecurangan. Hal ini bukan hanya hak suami sahaja, bahkan isteri turut berhak.

3. Kedudukan suami yang lebih tinggi iaitu kedudukan kepimpinan (qawamah), kekuasaan (wilayah) dan pengurusan rumahtangga. Firman Allah dalam ayat al-Nisa’:34;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. “

Dalam ayat di atas, 2 faktor mengapa Allah memberikan kelebihan kepimpinan kepada lelaki ialah kerana kelebihan semula jadi yang Allah berikan kepada mereka dari segi fizikal, pertimbangan akal, kemampuan memikul beban dan kerja. Kedua, mereka diwajibkan memberi nafkah kepada isteri.

Ini adalah asas yang telah diletakkan oleh Allah dalam mengemudi sebuah bahtera perkahwinan. Mana mungkin sebuah bahtera mempunyai 2 orang kemudi? Jika kedua-duanya kemudi, siapa yang akan menjadi kelasinya? Seorang kemudi yang baik, ialah yang baik komunikasinya dengan para kelasi dan bukan sekadar memberi arahan semata-mata.

vsh0742l

Meski fenomena wanita kini bekerja, Islam tidak menghalang tujuan tersebut asalkan dia mendapat keizinan suaminya dan menjaga kehormatan diri ketika bekerja. Yang cantiknya, pendapatan mereka adalah milik mereka dan suami tidak berhak ke atasnya walau sesen pun! Apabila dibelanjakan untuk keluarga dan membantu suami, bukankah ia satu ganjaran sedekah yang sangat besar! Sedangkan suami jika memberi nafkah kepada ahli keluarganya dianggap sedekah, inikan pula si isteri yang memberikan sesuatu yang bukan menjadi tanggungjawabnya!!

Jika dilihat dengan mata hati tentang ganjaran besar dari Allah ini, tidak akan timbul persoalan kempunan hak kepimpinan lelaki ini. Bukankah mudah menjadi wanita yang tidak banyak memikul tanggungjawab yang besar dan berat berbanding lelaki? Mampukah kalian wahai wanita yang kempunan hak untuk menanggungnya di akhirat kelak?

Rasulullah s.a.w mengahwini Saidatina Khadijah yang terkenal dengan kekayaannya hinggakan ramai orang Arab Mekah ketika itu meminjam wang daripadanya untuk mendapatkan modal perniagaan. Apabila Rasulullah s.a.w mengahwini beliau, baginda mengambil alih pengurusan perniagaan tersebut serba sedikit dan wang dari sumber perniagaan Saidatina Khadijah itu jugalah yang menjadi sumber pendapatan mereka sekeluarga dan sumber penjanaan jihad Islam ketika itu!

Hal ini signifikan sekali dengan senario wanita bekerja kini. Tetapi pernahkah Khadijah menuntut hak kepimpinan dari Rasulullah? Tidak pernah. Bagaimana pula sikap Rasulullah s.a.w dalam melayani Khadijah? Baginda turut membantu hatta dalam hal ehwal kecil rumahtangga seperti mengisar gandum dan sebagainya. Itulah yang patut diteladani oleh lelaki kini. Mungkin wanita-wanita di atas tidak pernah merasai pengalaman dibantu oleh suami dalam kerja-kerja di dapur, mengemas rumah dan sebagainya. Cuba praktikkan, pasti anda wahai wanita tidak akan kempunan hak lagi..

Pesanan buat suami, jika anda ingin bertindak zalim terhadap isteri kerana berasa diri berkuasa, ingatlah Allah yang Maha Berkuasa ke atas dirimu yang lemah. Jawablah di sana nanti segala penyalahgunaankuasa anda selama ini.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah komitmen kerohanian dan bukannya komitmen kebendaan semata. Apabila segalanya dilihat dari aspek material dan fizikal, inilah jadinya! Isteri menuntut yang bukan haknya, dan suami memanipulasi haknya.

Ingatlah wahai suami dan isteri sekelian, ayat Allah di akhir surah al-Baqarah:228 ini, “Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana”. Ini adalah peringatan Allah tentang kebesaran dan kebijaksanaanNya. Ia pasti meletakkan sesuatu itu di tempat yang paling munasabah. Janganlah kita menjadi pencabar kepada Allah s.w.t.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s