Renungan Buat Suami..

 

I’m a Superior Man!

Jika dalam ‘entry’ saya yang lalu bertajuk ‘Apa Lagi Kalian Mahu’ banyak merujuk kepada isteri sebagai subjeknya, ‘entry’ ini pula akan menjadikan suami  sebagai subjek utamanya.

Sepertimana kita maklum, Allah s.w.t memberi kelebihan darjat yang lebih tinggi kepada lelaki kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih dari segi kepimpinan dan pencarian nafkah buat segala tanggungannya sesuai dengan kemampuan fizikal, mental, emosi dan spiritual yang diberikan kepada mereka.

Namun, perubahan drastik dunia kini yang memerlukan material sebagai alat untuk manusia ‘survive’ menyebabkan wanita turut sama terjun mencari rezeki bagi membantu meringankan bebanan suami. Saya bukan ingin menyentuh perubahan hak atau sebagainya, tetapi ingin tampil untuk kita bersama merenung situasi yang dialami oleh isteri serta perubahan pendekatan yang perlu dilakukan oleh suami yang mempunyai isteri yang berkerjaya.

Satu analogi kira-kira Matematik, andaikan;

Peranan Suami = 2, Peranan Isteri = 1 (sepertimana kelebihan yang Allah berikan).

Sekarang, peranan Suami dibahagi 2, 2/2 = 1 (kerana dibantu oleh isteri yang bekerja.)

Sekarang, peranan isteri bertambah, 1+1 = 2 (peranan terhadap rumahtangga dan kerjaya)

Persoalannya, bagaimanakah untuk mengembalikan semula rumus asal iaitu suami=2 dan isteri=1 dalam keadaan isteri tadi bekerja? Kerana berdasarkan kira-kira di atas jelas menunjukkan isteri telah menggalas peranan yang lebih berbanding suami.

Inginkan hak superior berbanding suami memang tidak logik kerana jawapan akhirnya isteri=3 manakala suami=0. Ini sudah melampaui batas yang Allah tetapkan! Mungkin ini yang gerakan Musawah inginkan.

Ya, jawapannya mudah sahaja iaitu suami perlu mengambil satu daripada peranan isteri tadi iaitu membantu dalam pengurusan rumahtangga bersama isteri, dengan mengekalkan prioriti dan sifatnya sebagai pemimpin keluarga.

Wahai suami, bantulah isterimu menguruskan anak-anak apabila pulang dari kerja, bukan hanya mengharapkan secawan kopi di atas meja.

Bantulah dia, tatkala dia memasak di dapur, apa salahnya angkatkan kain di jemuran dan lipatkan.

Bantulah meringankan beban isterimu dengan turut sama melihat hal ehwal pelajaran anak-anak. Ajarkan anak-anak mengaji al-Quran, pastikan kerja sekolah mereka siap, segala peralatan dan buku sekolah untuk keesokan harinya juga harus beres.

Pada waktu malam, biasanya isteri akan sibuk menggosok baju sekolah anak-anak, basuh baju dan hal-hal remeh temeh di dapur yang tidak akan habis. Bantulah mereka sedaya upayamu wahai suami!

Di pagi yang hening pula, kitaran yang sama terus berlaku dalam keadaan masingmasing perlu bersedia untuk memulakan hari mereka. Pakaian, makanan untuk sarapan, belanja sekolah anak-anak dan macam-macam lagi. Bantulah mereka di kala ini.. Isterimu sangat memerlukan bantuanmu.

Namun, yang penting hargailah mereka. Butirkan perkataan terima kasih kepadanya jangan dilupa. Beri nasihat agama dan perangsang kepadanya untuk mendepani hari mendatang. Berkongsilah emosi dan rahsia bersamanya. Insya Allah mereka akan menghargaimu.

Bersikap ihsanlah terhadap isterimu yang bersedia menyedekahkan tulang empat keratnya untuk membantumu mencari nafkah, kemudian menguruskan anak-anak dan hal ehwal rumah tangga. Jika mereka sanggup melakukan ini untukmu, kenapa pula kalian tidak sanggup untuk membantu mereka di rumah? Jika kalian tidak sanggup membantu mereka, putuskan agar isterimu berhenti dari bekerja. Barulah adil namanya. Fikirkan sedalamnya wahai suami..

Adakah selama ini dirimu hanya mengambil kesempatan terhadap sikap ihsan isterimu? Adakah anda berasa selesa dengan keadaan isteri bekerja bagi membantumu? Jika jawapannya ya, bererti anda BELUM LAGI MENUNAIKAN AMANAH ANDA YANG SEBENAR SEBAGAI SEORANG SUAMI.

Lihatlah peribadi Rasulullah s.a.w, tatkala baginda baru pulang dari medan jihad baginda sanggup menyinsing lengan membantu Aisyah r.a di dapur. Tatkala mendapati tiada apa-apa pun untuk dimakan, baginda sanggup berpuasa daripada menyusahkan isterinya. Bukankah baginda pernah berpesan dengan sabdanya;

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik  (melayani) dengan keluargaku”

Ingatlah wahai suami, tanggungjawabmu dua kali ganda daripada tanggungjawab isterimu. Sangat berat!! Beringatlah di sini sebelum di sana nanti kalian dihumbankan ke neraka tanpa disangka, padahal di dunia dahulu kalian menyangka bahawa tanggungjawabmu terlaksana belaka.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s