Wahdah Pemangkin Khayra Ummah

maulud2091

Sedap sekali bunyinya, motto sempena sambutan Maulidurrasul 1430H. Bersendikan perkataan Arab sebagai subjek utama, pasti memerlukan huraian secara bahasa dan istilah supaya ia benar-benar dihayati.

Maksud dari segi bahasa pasti ramai yang mengetahuinya. Kesatuan/perpaduan pemangkin umat yang terbaik. Itu maksud lahiriahnya. Namun  secara kontekstualnya,  sebarang maksud yang tersirat boleh diberikan oleh sesiapa sahaja sesuai dengan situasi mereka. Sama ada mereka raja, ahli politik, ahli akademik, ahli perniagaan, ketua kampung atau sesiapa sahaja tema ini sangat sesuai untuk dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Sememangnya kita sedar motto ini dipilih sesuai dengan perkembangan politik semasa yang agak goyah kebelakangan ini. Persoalannya, apakah bentuk perpaduan yang harus berlaku? Apa fundemental atau asasnya? Apa pula ciri umat terbaik yang sepatutnya dicapai?

Sebagai muslim, rujukan terbaik kepada masalah ini adalah al-Quran dan hadith. Lihat ayat Allah ini;

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. “

Ali Imran 103-105

Potongan ayat di atas hanya sebahagian daripada ayat-ayat Allah yang menyatakan tentang seruan supaya umat Islam bersatu.

Apa asasnya? Hablullah yakni tali Allah. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mentafsirkan tali Allah dengan al-Quran bersandarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

Sesungguhnya al-Quran ini ialah tali Allah yang kukuh, cahaya yang nyata, penyembuh bagi yang mengambil manfaat darinya, panduan bagi yang berpegang dengannya dan kejayaan bagi yang mengikutinya.

Bermakna semua pihak perlu kembali semula kepada panduan al-Quran. Tinggalkan maksiat dan kemungkaran, tegakkan keadilan, perjuangkan agama Allah, seru kepada perkara kebaikan dan kehidupan beragama, berlaku baik kepada orang lain  serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan iman setiap masa. Itulah ciri-ciri umat terbaik.

Apabila kita acuh tidak acuh dengan seruan al-Quran ini, maka berlakulah apa yang berlaku kini sebagai kesan dari menidakkan tali Allah sejak lama dahulu. Ini menunjukkan kita Muslim sama sahaja dengan Nasrani dan Yahudi yang tidak mengendahkan keterangan Allah yang nyata dalam kitab Taurat dan Injil asli mereka.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, persoalan yang membelenggu umat Islam kini bukanlah hal titik bengik tetapi persoalan utama mereka ialah masih belum menerima seruan Islam, lemahnya akidah, tertangguhnya pelaksanaan syariat, rosaknya akhlak, terabainya solat, banyaknya rasuah dan maksiat, lembabnya pentadbiran dan pelbagai lagi. Hal ini menurut beliau berpunca dari tidak mahu menggunakan akal fikiran, jumud berfikir, hilangnya rukun iman dan rukun islam serta hilangnya asas ihsan.

Resolusinya, dalam situasi politik di Malaysia saya berpendapat semua pihak sama adaUMNO atau PAS sebagai mewakili kelompok besar umat Islam, perlu berpatah balik merujuk kepada Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w.

Meski PAS telah meletakkan al-Quran dan hadith sebagai asas perjuangannya, kita perlu menyemak kembali letak duduk kita dalam perkara ini supaya tidak kesasar. Namun bagi UMNO, perjuangan atas landasan bangsa bukanlah perjuangan yang syar’ie. Rel perjuangan mereka perlu ditukar dengan rel yang disarankan oleh Allah iaitu ISLAM jika mereka ingin selamat di dunia dan akhirat. Wallahu A’lam.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s