Tutup Di Luar, Terbuka Di Dalam.

Jika ada satu teka-teki sepertimana tajuk di atas, apakah jawapannya ya?

Pelbagai dimensi akan kita fikirkan untuk mencari jawapannya bukan? Tetapi yang pasti teka-teki ini teka teki yang benar dan bukan teka-teki yang boleh ditongsampahkan jauh sekali teka teki yang bodoh.

Anda ingin tahu jawapannya?

Jawapannya ialah HIJAB. Kita maklumi bahawa hijab adalah merujuk kepada sesuatu yang menutup. Namun seringkali kita menyempitkan hijab hanya merujuk kepada pakaian wanita yang menutup aurat, bahkan lebih sempit lagi hanya merujuk kerudung atau tudung kepala. Ternyata konsep hijab itu sangat menyeluruh dan luas meliputi hijab bagi wanita juga lelaki.

Firman Allah Taala dalam surah al-Nur: 30-31 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”

Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa hijab adalah arahan Allah buat semua hambaNya. Bermula daripada arahan Allah supaya manusia menahan pandangan mata. Menahan pandangan bukannya menutup mata. Bukan juga menundukkan kepala, tetapi meghadkan penglihatan kita daripada melihat perkara-perkara yang maksiat.

Mata adalah deria. Deria merupakan pintu masuknya segala macam penaakulan di dalam minda. Jika yang dilihat baik dan makruf, penaakulan juga akan begitu. Jika yang dilihat jahat dan mungkar, juga mudah sekali untuk menguasai pemikiran.

Akhirnya, penentu kepada siapa yang mampu menguasai pemikiran ialah apa sumber yang banyak sekali direkodkan. Jika pengulangan dari sumber yang baik lebih banyak, alhamdulillah hati terpelihara daripada terhijab. Jika sebaliknya pengulangan terbanyak yang berlaku, maka terhijablah hati kita daripada mengenal Allah Taala.

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir, Ahmad, Tirmizi dan Nasaei ada bermaksud;

“Sesungguhnya seorang hamba itu apabila melakukan dosa, maka terbintiklah di hatinya satu bintik hitam. Jika ia bertaubat dan meninggalkan perbuatan itu serta memohon ampun, maka hatinya dibersihkan. Jika ia ulangi dosa tersebut, bintik itu akan bertambah sebagai meliputi seluruh hatinya. Itulah ‘raan’ yang disebut oleh Allah dalam al-Quran.”

Konteks hijab seterusnya ialah memelihara kehormatan. Maruah diri dan kehormatan diri wajib dipelihara. Ramai sekali yang mampu memelihara hijab pakaiannya, tetapi gagal mengawal tingkah laku perbuatannya. Bercampul gaul, bertepuk tampar sesama lelaki dan wanita tanpa tujuan dan urusan yang khusus dan syarie adalah bertentangan dengan arahan menjaga kehormatan diri. Bertindak keras dan tidak menghiraukan persepsi mad’u juga turut menjejaskan kehormatan. Pendek kata, memelihara kehormatan diri ini adalah memelihara diri dengan akhlak Islam dan bukannya budaya bangsa.

Tidak hairan juga jika pelaku maksiat di tempat-tempat awam yang biasa ditemui kini adalah mereka yang bertudung. Tudung hanyalah entiti yang membina hijab fizikal, iaitu pakaian yang menutup aurat. Yang bertudung juga tidak semestinya menutup aurat. Persepsi salah inilah yang menguasai kita lantas tudung menjadi ukuran iman. Kesannya, jika sudah bertudung, terhentilah segala proses hijrah ke arah kebaikan yang lain.

Oleh itu, perbaikilah hijab kita. Hijab yang holistik. Hadkan pandangan, bataskan pergaulan, tonjolkan peribadi mahmudah dan lindungi aurat seluruhnya daripada penglihatan umum. Tujuan hijab hanya satu, iaitu memudahkan kita melihat, mendengar dan berfikir ayat-ayat Allah dengan pandangan hati yang sebenar. Mana mungkin mengenal dan merasai kebesaran Allah dengan mata hati yang tertutup dengan lapisan hijab yang setebal-tebalnya? Tidak mungkin.. Justeru, tidak hairanlah jika setiap hari masuk ke kelas pengajian Islam, setiap hari memandang alam semesta namun tiada cinta yang berputik dengan Yang Maha Pencipta.

Fikirkanlah di dalam dirimu ayat Allah ini. Surah al-Hajj ayat 46 yang bermaksud;

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya  mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?  kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”

 

 

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s