Apabila Azan Subuh Tidak Berkumandang..

Setibanya tentera Islam di Khaibar, Nabi s.a.w mengarahkan agar sahabat-sahabatnya berhenti dan menunggu sehingga subuh. Teliti nian baginda Nabi s.a.w menunggu sehingga subuh menjelang hanya untuk memastikan bahawa sememangnya tiada seorang pun antara penduduk Yahudi Khaibar yang beriman. Baginda menunggu laungan azan Subuh. Sememangnya tiada kedengaran pun seruan itu.

Selepas muslimin menunaikan solat Subuh, seluruh pasukan berkuda pun memasuki Khaibar tanpa disedari oleh penduduk Yahudi di situ, melainkan oleh pekerja-pekerja yang di awal pagi lagi menuju ke ladang tamar mereka di Khaibar yang subur itu.

Begitulah strategi Rasulullah s.a.w yang menjadikan azan Subuh sebagai indikasi kewujudan orang-orang yang beriman di sesuatu tempat. Tanpa ragu-ragu lagi, itulah juga ukuran yang kita sepatutnya gunakan pada hari ini. Justeru, lihat di tempat kita masing-masing, masih kedengaran lagikah azan Subuh setiap kali menjelang fajar? Ataupun yang tinggal kini hanya bunyi sepi dan sunyi yang membaluti tubuh manusia yang keenakan dibuai mimpi?Ataupun mungkin hanya sekali sekala kedengaran seiringan dengan naik turunnya iman?

Jika jawapannya ada kedengaran azan setiap pagi, alhamdulillah. Bermakna masih ada individu yang mampu menarik perhatian Allah Taala untuk melimpahkan rahmatNya kepada dirinya dan orang di sekelilingnya.

“Dari ABu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w bersabda,”Allah akan memberi naungan kepada 7 orang pada hari kiamat di mana tidak ada naungan ketika itu kecuali naunganNya. 1. Pemimpin yang adil, 2. Pemuda yang dididik  sejak kecil mengabdikan diri kepada Tuhannya, 3. Seseorang yang hatinya terikat dengan masjid, 4. Dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah, 5. Lelaki yang digoda oleh seorang wanita untuk melakukan maksiat tetapi menolak dan berkata ‘ sesungguhnya aku takutkan Allah’, 6. Seorang yang bersedekah dengan sembunyi hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya, 7. Seorang yang mengingati Allah ketika sunyi sambil menitiskan air mata.”

                                                                                                                                    (Hadith riwayat Bukhari)

Jika jawapannya tiada, lihatlah apa yang Rasulullah s.a.w katakan di dalam hadith riwayat Bukhari di bawah ini;

“Dari Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan solat Isya’. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan secara berjemaah), nescaya mereka akan datang sekalipun dengan merangkak. Sesungguhnya aku ingin menyuruh seseorang azan dan iqamah kemudian menyuruh orang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh obor lalu kubakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah)”.

Berdasarkan sirah, memang Rasulullah s.a.w tidak pernah membakar rumah sesiapapun. Namun, pernyataan baginda ini menunjukkan bahawa amat pentingnya solat subuh berjemaah itu berbanding rumah yang menjadi keperluan dan pelindung bagi manusia. Bermaksud, solat Subuh berjemaah bukan sekadar pelindung, malah lebih daripada itu!

Apa maksudnya?

1. Subuh berjemaah adalah kekuatan ikatan hamba kepada Allah.

2. Subuh berjemaah adalah lambang ukhuwwah yang utuh kerana Allah. Aktiviti kejut mengejut, sentiasa memperingati setiap ketika pastinya ada.

3. Subuh berjemaah sebagai penolakan terhadap pengaruh keduniaan dan segala nikmatnya. Nikmat tidur, nikmat wanita, nikmat tilam semuanya tidak mampu mempengaruhi keinginan kuatnya untuk berjemaah.

4. Subuh berjemaah adalah lambang keimanan lelaki yang ada di kawasan kita. Ya, apabila lelakinya kuat rohaninya pasti kesannya akan dilihat pada ahli keluarga dan masyarakat.  Adakah ini berlaku?

Sememangnya jika azan tidak berkumandang, tiada panggilan dilakukan. Apabila tiada panggilan sudah pasti tiada jawapan. Jika ada panggilan dan tiada jawapan, bermaksud pemanggil perlu melakukan sesuatu di waktu yang lain dalam usaha untuk memanggil dan mendapat jawapan dari yang lain. Dakwah.

Apabila ada panggilan dan banyak jawapan diterima barulah kemakmuran dapat dirasai. Konteks ini sesuai sekali untuk apa-apa situasi sekalipun. Jemputan kenduri yang dijawab oleh ramai orang, pasti meriah. Malanglah jika kita sangat mengambil berat panggilan untuk menghadiri keraian atau kenduri, tetapi jauh sekali untuk menjawab panggilan Subuh yang mampu memberi kemakmuran berganda untuk diri dan semua.

                                                 Bayangkan seramai ini jemaah Subuh kita. Kuatnya Islam. Allahu Akbar!

 

Ayuh rijal sekalian, kumandangkanlah  azan Subuh sebelum kita diperangi oleh Rasulullah s.a.w nanti! Jawaplah panggilan sebelum rahmatNya dicabut daripada kita nanti..

Salam Subuh dari Ummu Awfa.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s