Mengenali Halimatussa’diah

 

Selepas Aminah binti Wahab bonda baginda Nabi s.a.w melahirkan baginda, beliau mahu menyusukannya. Namun baginda enggan menyusu daripada beliau sehingga tempoh 2 hari lamanya. Pada pagi hari ketiga, Suwaibah hamba wanita Abu Lahab datang melihat Aminah dan apabila mengetahui perkara yang berlaku lantas Suwaibah mengambil bayi tersebut dan diletakkan dekat dengan dadanya. Dengan izin Allah mulalah bayi itu menyusu. Aminah sangat gembira dan hilanglah segala keresahan yang melanda beliau selama 2 hari itu. Diperihalkan juga bahawa Suwaibah turut menyusui pakcik Rasulullah s.a.w iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib.

Pada hari kelapan selepas kelahiran baginda, datanglah ke Mekah sekumpulan wanita dari keturunan Bani Saad bin Bakr untuk tujuan mencari bayi untuk disusui. Mereka ini memang terkenal sebagai ibu susuan khususnya dari kalangan bangsawan Arab Mekah. Daripada penyusuan inilah mereka mencari nafkah kehidupan mereka.

Kalangan mereka ini terpilih untuk dijadikan sebagai ibu susu kerana faktor kesihatan badan mereka dan terkenal juga dengan kefasihan bahasa. Pernah diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku sangat fasih dalam menyebut Dhad kerana aku dari keturunan Quraisy dan aku disusui oleh Bani Saad.”

Diantara wanita yang datang ke Mekah adalah Halimah dan suaminya al-Harith bersama anak kecil mereka Abdullah. “Ketika itu pada tahun kemarau, kami tiada apa-apa yang tinggal. Kerap kali malam kami tidak tidur kerana tangis anak-anak kecil kami yang kelaparan. Payu dara kami tidak berisi untuk menyusui mereka, apatah lagi tiada sesuatu untuk memberi mereka makan”. Itulah kata-kata Halimah tentang keadaan beliau ketika itu.

Setibanya mereka di Mekah, tiada siapa yang menawarkan kepada mereka bayi untuk disusui kecuali bayi lelaki Aminah. Namun mereka enggan mengambilnya kerana dia anak yatim. Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih apabila seseorang bayi itu mempunyai seorang bapa. Apalah yang boleh didapati daripada seorang anak yatim. Namun, setelah hampir rombongan mereka bersedia untuk pulang Halimah masih belum mendapat mana-mana bayi.

“Demi Allah, sesungguhnya aku tidak suka jika aku kembali dalam keadaan tiada bayi untuk disusui. Aku akan pergi kepada anak yatim tadi dan aku akan mengambilnya,” tegas halimah kepada suaminya, al-Harith. “Mudah-mudahan Allah akan memberikan kepada kita keberkatan”. Doa suaminya seraya mengizinkan kemahuannya tadi.

“Apabila aku mengambilnya, aku pun kembali meneruskan perjalanan. Ketika aku merapatkannya ke dadaku, maka keluarlah air susu dari kedua payu daraku. Dia minum sehingga kenyang, begitu juga saudaranya Abdullah lalu keduanya tidur. Setelah itu aku dan suamiku pun makan sehingga kenyang dan hadirlah bagi kami pada malam itu malam yang baik.”

Itulah antara kata-kata Halimah pada awal penyusuannya kepada baginda Nabi. Sesungguhnya pada diri baginda diberikan keberkatan oleh Allah mereka yang berada di sekeliling baginda. Selama tempoh itu, kambing Halimah beranak pinak. Bekalan makanan bertambah dan melimpah ruah. Keadaan ini bukan sahaja dirasai dalam kehidupan Halimah, malah seluruh kaum keluarganya yang lain turut merasakan kenikmatan itu.

Apabila tiba tempoh untuk disapih, Halimah dengan berat hati serta penuh hiba menyerahkan semula Muhammad kepada ibunya Aminah. Namun AMinah memberikan keizinan untuk Halimah terus memeliharanya lagi sehingga baginda berusia 4 tahun. Halimah terlalu gembira dengan keizinan tersebut, lalu dia kembali membawa baginda Muhammad s.a.w ke Hawazin untuk hidup di lembah Sahara yang subur serta penuh ketenangan itu.

Tiada yang lebih menggembirakan Halimah melainkan membesarkan dan memelihara anak yatim itu yang telah membawa banyak keberkatan di dalam hidupnya. Pada tempoh inilah dikatakan riwayat bahawa baginda didatangi oleh 2 orang malaikat serta dibelah dadanya untuk disucikan.

Wanita mulia inilah yang mendapat penghormatan dari baginda s.a.w untuk duduk di atas kainnya yang dihamparkan sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w. ketika hayatnya menurut sebuah hadith dari riwayat Abu Daud.

Pengajaran;

1. Usahakanlah untuk menyusukan anakmu dengan susu manusia. Sesungguhnya susu ibu adalah anugerah yang tidak terhingga yang diberikan kepada seorang ibu oleh Allah Taala. Mencari jalan mudah untuk terus memberikan anak susu formula tanpa berusaha terlebih dahulu untuk menyusuinya sendiri adalah seolah-olah lari dari nikmat Allah yang istimewa ini. Anakmu berhak terhadap susumu. Usahalah wahai ibu…

     

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. ”
 

Rujukan; Mahmud Muhammad Ta’mah Halbiy (2000), Nisa’ Haul al-Rasul, Beirut; dar al-Makrifah.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s