Raya Kita

Sedar tak sedar, sudah 2 minggu blog ini tidak dikemaskini. Alhamdulillah, mungkin belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan EId Mubarak buat semua, dan mudah-mudahan kita merayakan perayaan ini dalam keadaan diri yang bertaqwa. Kerana, hari raya bukan untuk melepaskan dendam ataupun qadha segala perkara yang tidak boleh dilakukan di bulan Ramadhan sebagaimana biasa yang kita amalkan, tetapi adalah tanda kemenangan dan kesyukuran atas kekuatan dan motivasi baru yang diperolehi hasil tarbiyyah Ramadhan.

 

Bermaksud, jika kita dapat rasakan ada peningkatan taqwa dalam diri, maka memang selayaknya kita menerima anugerah nikmat Allah ini. Jika tiada apa-apa, kita tidak layak untuk anugerah raya ini, melainkan hanya menambah beban dosa sahaja. Lihatlah sahaja di kaca-kaca televisyen, saban tahun menjelang hari raya sudah siap senarai program raya yang menunggu. Daripada rancangan muhasabah diri, kepada program tari menari, menyanyi bercampur antara lelaki dan wanita, drama dan filem seram hingga yang menyentuh hati, segalanya ada. Bercampur aduk belaka, dan itulah yang menggambarkan taqwa dan raya bagi Muslimin Malaysia. Raya budaya, bukan raya agama.

Saya fikir, setiap tahun akan ada yang menyatakan dan membuat teguran tentang situasi ini namun perkara yang sama masih berterusan berlaku. Mungkinkah budaya ini akan berubah? Segalanya mungkin, dengan penerusan dakwah dan pemurnian fikrah Islam yang berterusan terhadap masyarakat. Kitalah perubahnya!

Bingit juga telinga saya menjelang 5 hari atau mungkin lebih sebelum Idulfitri tiba. Corong-corong radio sudah ligat memutarkan lagu-lagu raya dan segalanya yang berkaitan raya termasuklah radioku IKIM FM. Saat-saat terakhir Ramadhan yang kritikal itu telah habis dimusnahkan begitu saja dengan meracuni pemikiran pendengar dengan keseronokan raya yang akan tiba. Entah kan kita sedar atau tidak, sebenarnya kita mungkin tidak layak untuk meraikannya untuk tahun ini. Budaya lagi.

Yang kasihan bukan pada Ramadhan, tetapi pada diri Muslim itu sendiri. Terpesona dengan kegembiraan yang menipu. Kegembiraan yang ditonjolkan hasil kecetekan fikrah Islam terhadap erti Idulfitri yang sebenar. Biasa orang kata, zaman raya yang paling seronok adalah ketika kanak-kanak. Ya, benar dari sudut perasaan fizikalnya. Tetapi dari sudut rohaninya, sepatutnya kita ada satu sentuhan bahawa hari raya yang paling seronok adalah apabila kita mendapat peningkatan iman dan taqwa kepada Allah hasil kerja keras kita pada bulan Ramadhan.

Yang paling utama, erti Idulfitri bukan pada pakaian baru, ketupat rendang, kuih muih, dan duit raya semata-mata. Tetapi pada iman baru, taqwa baru dan azam baru untuk terus beramal kerana Allah dan memperbaiki diri setiap masa hinggalah bertemu semula Ramadhan yang seterusnya.

TaqabbalalLahu minna wa minkum… (Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan daripada kamu)

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s