Harga Sebuah Hijrah

الحمدلله ثم الحمدلله…
Tiada ayat dan kata-kata paling layak untuk dilafazkan buat menggambarkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kami sekeluarga. Tika huruf-huruf ini ditaip, saya berada di Sweileh Jordan bagi meneruskan jihad menimba ilmu pengetahuan buat bekalan diri yang serba kekurangan ini. Entah mengapa sudah berbulan-bulan blog ini tidak di’up-date’ sama ada oleh suami ataupun saya sendiri. Berat pada rasa dan keinginan untuk menulis sesuatu, padahal begitu banyak sekali perkara yang boleh dikongsi bersama di sini.

18082011 (Khamis), kami berada di bumi Amman Jordan secara rasminya sebagai muhajir dan musafir ilallah. Tiada niat lain di hati saya selain untuk menimba dan mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dalam kembara ilmiah ini. Sesungguhnya hanya Allah dan diri saya sendiri yang mengetahui betapa kontangnya dada ini dengan ilmu. Mudah-mudahan Allah meredhai perjalanan ini dan sentiasa melorongkan saya pada jalan yang benar, ilmu yang benar dan perjuangan yang benar. Amiin, Ya Rabb. Meskipun kadang kala timbul waswas yang ditiupkan oleh syaitan akan kemampuan diri ini untuk menempuhinya. Namun, kata-kata suami saya yang sentiasa diulanginya kepada saya, “tiada lagi pandang belakang” cepat-cepat mematikan keraguan itu.

Yang penting, saya perlu sentiasa positif, segera mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah, usaha dengan tekad dan berani. Ya, keyakinan perlu ada untuk sebuah perubahan. Perubahan yang didasarkan atas asas hijrah ke arah yang lebih baik dan bukan sebaliknya. Itulah yang penghulu kita baginda Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada umatnya sebagai satu mesej untuk diikuti dan dihayati dalam kehidupan, daripada siri hijrah baginda ke Madinah. Memang mudah untuk memahaminya dengan makna dan kata-kata, tetapi sukar sekali dihayati dan dilaksanakan oleh amal dan perbuatan melainkan dengan bekalan jihad yang kuat.

Saya kini ada segala-galanya, suami di sisi, anak-anak penyeri hidup, nikmat kehidupan kebendaan yang tidak pernah putus, kesihatan yang baik dan segala-galanya lagi yang tidak akan terhenti senarai nikmat itu. Apa lagi yang mampu menghalang diri ini daripada terus melangkah, melainkan tewas dengan hawa nafsu sendiri dan was was daripada syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang. Pilihan ada pada diri saya sendiri, sama ada ingin memberikan harga yang mahal atau murah untuk hijrah ini.

Sesungguhnya Allah sentiasa bersamaku, jika aku sentiasa bersamanya..

-Ummu Awfa-

Di KLIA sebelum bertolak. Ma'assalamah semua..
Di KLIA sebelum bertolak. Ma'assalamah semua..

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s