Sepetang Bersama Syeikh Solah Al-Kholidi

Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Kholidi. Nama ulama tafsir tersohor dari Jordan ini memang tidak asing lagi di kalangan pelajar jurusan agama khususnya bidang tafsir. Saya mula mengetahui namanya dan mengenali fikrahnya ketika bergelar pelajar  Usuluddin di Universiti Malaya dahulu melalui rujukan yang digunakan di dalam madah. Antara karya beliau yang paling saya ingati ialah kitab Israiliyyat Mu’asarah yang dijadikan sebagai kitab rujukan utama dalam madah Israiliyyat Dalam Pengajian Tafsir di bawah bimbingan Ustaz Ishak Sulaiman ketika itu. Kini, beliau sudah bergelar Prof. Madya. Ayuh tinggalkan kenangan lama itu kerana kini saya bertemu dan melihat sendiri susuk tubuh ulama ini di hadapan mata. Satu nikmat yang tidak terungkap dek kata-kata.

Inisiatif daripada adik-adik PPMA menjemput Syeikh untuk datang memberikan sedikit perkongsian dengan para pelajar Malaysia Amman pada petang kelmarin (Sabtu 3/3/2012) sememangnya patut dipuji. Kedatangan beliau pada lebih kurang jam 3.45 petang itu disambut dengan penuh rasa mahabbah dan ukhuwwah yang tinggi. Meskipun usianya saya kira mencecah 65 tahun, namun raut wajahnya seperti masih dalam 50-an. Tubuhnya sederhana sahaja, namun suaranya penuh semangat semasa menyampaikan taujihat kepada kami. Terasa juga seolah-olah sedang mendengar nasihat daripada ayah sendiri bilamana beliau membahasakan kami dengan panggilan Ya Abna’i wa Banati, meskipun ayah sendiri sudah lama tiada.

Agak rugi juga rasanya apabila nasihat-nasihat dan input daripada Syeikh tidak dikongsi bersama orang lain. Justeru, berikut adalah beberapa perkara penting daripada Syeikh Solah Al-Kholidi untuk kita semua;

1. Bacalah Al-Quran dengan penuh penghayatan seolah-olah Allah SWT berkata-kata kepadamu.

2. Jadikanlah Al-Quran dalam kehidupanmu dalam 6 perkara;

Cintai Al-Quran. Sesiapa yang mencintai Al-Quran maka dia juga mencintai Allah.

Bacalah Al-Quran. Setiap hari sekurang-kurangnya satu juzuk dan waktu yang paling afdhal adalah sebelum fajar. Jika kurang dari  satu juzuk, maka dia itu adalah pemalas.

Fahami Al-Quran. Perlu mengetahui terjemahan dan tafsirannya, bukan sekadar membaca sahaja.

Melaksanakan hukum-hakam Al-Quran. Lakukan segala kewajipan dan tinggalkan segala tegahan dan pengharaman.

Seru manusia kepada Al-Quran. Sebarkan ayat-ayat Al-Quran dan saling berpesan-pesan dan nasihat menasihati dengannya.

Berjihadlah memerangi musuh-musuh Al-Quran. Berusaha dengan keupayaan yang maksimum untuk membantu agama Allah dalam apa juga cara.

Apabila kesemua enam perkara ini dipenuhi barulah kita boleh dianggap sebagai pengikut dan ahli kepada Al-Quran, kerana Al-Quran bukan kitab suci bacaan semata-mata, tetapi panduan yang membentuk kelakuan dan peribadi manusia yang bergelar Muslim.

3.Ingatlah bahawa Al-Quran itu adalah ruh, cahaya, kehidupan dan hikmah. Ruh manusia hanya akan benar-benar hidup apabila Al-Quran sering dibaca dan ajarannya dipraktikkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura:52:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Bermaksud: Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: Cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.

Jiwa yang disirami dengan bacaan Al-Quran dan pengamalan Islam dalam kehidupan sehariannya akan sentiasa optimis menghadapi kehidupan dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah kerana dia sentiasa yakin tiada yang sia-sia di muka bumi ini. Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-An’am:122:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Bermaksud: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi  dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita , yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan.

Logik akal juga mengakui bahawa orang yang berjalan dengan diterangi cahaya lebih mudah, terarah dan jelas hala tuju dan matlamatnya berbanding mereka yang berjalan di dalam kegelapan.

4. Memahami tafsiran Al-Quran itu sangat penting, dan tidak mungkin seseorang itu mengetahui tafsiran sesuatu ayat kecuali dengan mengetahui ilmu I’rab. Hal ini khusus bagi mereka yang mempelajari agama dan mendalaminya, manakala bagi masyarakat umum sekurang-kurangnya mencari inisiatif untuk memahai tafsiran al-Quran dengan membaca terjemahan dan kitab-kitab tafsir tertentu.

5. Syeikh juga mencadangkan beberapa bahan bacaan asas yang penting bagi penuntut ilmu antaranya;

– Kitab tafsir makna perkataan “Kalimat al-Quran Tafsir wa Bayan” oleh Muhammad Makhluf.

– Kitab tafsir Fathul Qadir oleh Imam Al-Syaukani.

– Kitab tafsir Tafsir Al-Quran al-Azim oleh Imam Ibn Kathir.

– Kitab tafsir “Fi Zilal al-Quran” oleh Sayyid Qutb.

Begitu juga kitab-kitab yang lain sangat digalakkan untuk dibaca.

6. Sentiasalah kita berpesan-pesan dan nasihat menasihati atas jalan kebenaran sebagaimana saranan Allah SWT dalam surah al-‘Asr.

Secara jujurnya, kata-kata alim ulama itu berbeza daripada orang-orang yang biasa. Justeru, selagi mereka masih ada manfaatkanlah para ulama untuk memberikan panduan kepada kita sebagaimana kata Nabi SAW;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Bermaksud: Dari Abdullah b. Amru b. al-As berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan ilmu secara terus dan tiba-tiba daripada hamba-hambanya tetapi Dia menghilangkan ilmu dengan mematikan para ulama’ sehingga tidak ada lagi ulama. Maka manusia mengambil orang jahil sebagai ketua maka mereka bertanyakan kepada mereka, lalu mereka (juhala’) memberikan fatwa tanpa ilmu maka dia telah sesat dan menyesatkan.

(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad).

Seperkara yang sangat menarik perhatian saya adalah ketika Syeikh bertanyakan kepada para pelajar tentang pengarang kitab tafsir AL-Asas fi al-Tafsir, maka pelajar menjawab Said Hawwa. Beliau kelihatannya tidak menduga bahawa para pelajar mengetahuinya, lantas beliau berkata, “Masya Allah kamu semua adalah mujahid dakwah, Subhanallah walhamdulillah, takbir!” “ALLAHU AKBAR!” Takbir disambut. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan lagi peluang dan nikmat ini di masa hadapan, insya Allah..

2 thoughts on “Sepetang Bersama Syeikh Solah Al-Kholidi

  1. Alhamdulillah kak, saya sangat2 bersyukur ditakdirkan ke sini walaupun sukar! Namun, di sinilah saya benar-benar merasai dan menghayati erti BAHAGIA DALAM DERITA. Bahagia bertemu para ulama,bahagia menelusuri ilmu-ilmu yang tidak berpenghujung dan banyak lagi. Bila bahagia menguasai diri, derita yang besar terasa kecil, yang sukar menjadi mudah. Allahumma Yassir wa la tu’assir..

  2. Alhamdulillah ….wa syukru lillah, dapat juga Husna jumpa Syeikh Solah ni, ustazah masih menanti2 peluang kiranya Syiekh datang bertandang ke Malaysia utk ziarah /jaulah ilmiyyah. Pastinya anti tidak akan rugi sambung pelajaran kat Jordan sebagaimana hingga kina ustazah redha dgn ketentuaan Allah, tidak bersempatan ke sana walaupun di UIAM juga bbrp asatizah dari bbrp negara Arab. Pernah berguru dgn Dr Najm & Dr Ziyad Dhaghamin semsa kedua2nya mengajar di UIA dulu.

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s