Mereka Yang Istimewa

 

Ribuan manusia tersentuh hati pastinya setelah melihat video Hari Raya Bernas, yang mengisahkan tentang dua orang anak yatim OKU itu. Seorang bisu dan seorang lagi buta. Pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang individu itu tersentuh hati melihatkan video tersebut. Mungkin kerana mereka anak yatim, mungkin kerana teringatkan ayahanda dan bonda yang telah tiada, mungkin kerana mereka OKU dan sebab-sebab yang lain lagi.

Secara peribadi, video ini sangat dekat dengan saya kerana ia mengingatkan saya pengalaman lalu hampir 30 tahun yang lalu. Ayah saya telah pergi meninggalkan kami sekeluarga dalam usia yang agak muda ketika itu, 42  tahun, kerana penyakit gastrik yang kronik. Tinggallah Mak dan 6 orang anak antara 17 tahun hinggalah 1 setengah tahun. Saya ketika itu berumur 5 tahun, yang kedua terakhir. 2 kakak dan seorang abang tinggal di asrama, tinggallah kami 3 beradik yang terakhir bersama Mak di kampung. Anak-anak yatim. Tanpa pekerjaan tetap ternyata kehidupan seorang isteri yang ditinggalkan suaminya sangat sukar dengan anak-anak yang masih kecil. Namun Mak tetap tabah dan gigih membesarkan kami seorang diri walau datang lamaran untuk dijadikan isteri, namun cinta Mak kepada Bapak tetap satu dan utuh. Saya rasai itu.

Sepanjang kehidupan sebagai anak yatim, saya merasai 2 perkara yang begitu kuat dan membekas dalam diri saya; ketabahan dan keistimewaan. Itulah juga yang saya dapat rasakan tika menonton video Ahmad dan Fizi. Tabah terbentuk apabila melihat ibu berusaha sekuatnya, maka anak-anak cuba untuk berdikari agar tidak menambahkan bebanan si ibu. Meskipun dengan kekurangan sokongan seorang bapa dalam hidup, ketabahan seorang ibu sudah cukup untuk diteladani oleh anak-anaknya agar bersemangat sebagaimana ibunya gigih membesarkan mereka tanpa ayah. Justeru kita lihat contoh teladan ummat Nabi Muhammad SAW membesar dalam keadaan yatim sebagai tarbiyyah secara langsung dari Allah untuk membentuk ketabahan dan kekuatan dalaman yang tersendiri tanpa pergantungan kepada manusia.

Sebagai anak yatim juga saya melihat diri saya istimewa. Setiap kali membaca Al-Quran dan berjumpa dengan perkataan al-yatim saya rasa istimewa, kerana ALlah  memberitahu sesuatu tentang yatim di dalam al-Quran walaupun ketika itu saya tidak benar-benar memahaminya. Juga setiap kali lebaran, kami akan dapat duit sumbangan dan keraian dari pihak sekolah atau guru-guru kerana kami anak yatim. Begitu juga setiap hari Jumaat jika Mak turut menghadiri kelas pengajian mingguan di masjid, kami akan menerima bungkusan surat khabar yang di dalamnya berisi duit syiling. Saya sangat gembira. Gembira sebagai seorang kanak-kanak.  Rasa istimewa ini alhamdulillah terdorong ke arah kebaikan kesan ingatan daripada Mak agar sentiasa bersyukur dan lazimi membantu orang lain kerana orang telah membantu kita.

Begitulah serba sedikit kisah saya sebagai anak yatim. Satu zaman yang banyak mempengaruhi kehidupan saya pada hari ini. Sebagai ingatan kepada diri saya sendiri khususnya, sentiasalah berbuat kebaikan kepada anak-anak yatim kerana  mereka telah kehilangan sumber pergantungan dunia mereka dengan hilangnya seorang ayah dalam kehidupan. Begitu juga dengan anak-anak yang kehilangan ibu, walaupun dari segi takrif syaraknya anak yatim adalah anak-anak yang belum baligh yang kematian bapa. Sumbanglah apa sahaja dengan doa agar sumbangan kecil kita itu mampu memberikan sokongan moral dan spiritual buat mereka. Peliharalah hak-hak mereka sebaiknya agar mereka sentiasa tabah dalam mendepani hidup dan menjadi insan yang berguna dan berjasa pula pada orang lain suatu hari akan datang. Firman Allah dalam surah al-Dhuha:9:

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Bermaksud:”Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya “.

 

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s