Ummi, di manakah Allah?

Anak-anak kecil potensi berfikir mereka sangat tinggi, di luar jangkauan manusia biasa kadang kala. Andai satu hari anak anda datang kepada lantas bertanyakan soalan, ‘Allah di mana?’, apakah agaknya jawapan terbaik yang kita boleh berikan kepada mereka? Pening juga kita dibuatnya..

Pada pendapat saya, soalan ini satu petanda besar menunjukkan pemikiran kritikal si anak tadi, di samping peluang keemasan buat ibu memasakkan aqidah tauhid dalam diri anaknya. Justeru, soalan tadi WAJIB dijawab. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah bertanyakan soalan ini,  tetapi saya selalu khuatir jika soalan ini diajukan.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan bertanyakan soalan ini kepada Prof. Dr Ahmad Naufal yang kebetulan membahaskan tentang sifat Allah di dalam kelas pada hari itu. Beliau mengakui bahawa soalan ini adalah soalan yang sangat sukar untuk dijawab kerana beberapa perkara:

1. Jawapan yang hendak diberi hendaklah tidak bertentangan dengan nas dan syariat serta bebas dari unsur tajsim terhadap Allah.

2. Jawapan juga harus bersesuaian dengan tahap pemikiran anak itu sendiri untuk memahami dan menerima penjelasan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar kita kembali kepada uslub al-Quran dalam mendidik manusia ke arah tauhid, iaitu dengan cara menunjukkan dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan bukti kewujudan-Nya secara berterusan dan berulang kali. Fokus kepada sifat Allah, dan bukan zat-Nya.

Oleh itu, jika soalan tersebut diajukan kepada anda, mungkin anda boleh jawab begini:

“Allah itu ada, anakku. Tetapi sebagai manusia akal kita tak mampu untuk fikir Allah di mana. Cuba tengok langit, subhanallah cantik..Itu Allah jadikan. Hari-hari Allah bagi pelbagai nikmat pada  kita, tandanya Allah sayang pada kita manusia. Maksudnya, Allah sangat dekat dengan kita.”

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan).”  (Hud:6)

Pada ketika yang lain, berterusanlah dalam menghubungkan elemen kehidupan dengan tauhidullah.

“Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan anak-anak ummi ke sekolah hari ini”

“Subhanallah, cantiknya lukisan anak ummi. Kehebatan kakak ni, Allah yang bagi, alhamdulillah.”
“Tengok, Israel yang banyak senjata canggih pun boleh takut dengan semangat jihad mujahidin Palestin. ALlah nak tunjuk pada kita tu,kekuatan sebenar bukan pada benda, tapi pada hati dan iman.”

Banyakkan ajar anak-anak kita agar mengingati, berdoa dan mematuhi perintah Allah. Insya Allah semoga Allah memudahkan urusan kita membentuk benih-benih tauhid dan iman dalam diri anak-anak kita, agar mereka mampu menjadi pejuang agama sebenar satu hari nanti, amin.

//

Apa dalam minda anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s