Bumi Itu Dirindu Kerana Apa?

 

Bumi itu dirindu kerana apa?

Keluargaku di sini

Aku juga di sini

Medan sebenar aku juga di sini..

 

Lantas, bumi itu dirindu kerana apa?

Di bumi itu aku kembali mengenal diri

Siapa Tuhanku selama ini

Di situ aku hayati bahagia dalam derita

berasa ada walaupun tiada

berasa lapang dalam sempit

berasa damai dalam ribut

berasa kuat dalam lemah..

 

Ya, ia sukar digambarkan

Walau bumi itu hanya persinggahan

Namun ia plot besar yang mengubah kehidupan

Lalu, jangan kau sebut bumi itu dirindu kerana apa..

Apa Ada Di Sebalik Demo Itu?

Saya sedang asyik dengan skrin dan ‘keyboard’ komputer riba di perpustakaan, bilamana tiba-tiba keasyikan itu direnggut dengan seruan takbir dan kata-kata semangat dari demonstrasi para pelajar UJ tentang serangan di Gaza. Hati tersentuh, jiwa berkobar-kobar, lantas semangat meningkat dan membara untuk segala-galanya, untuk perjuangan..

Kenangan terus membawa kenangan silam lebih kurang 13 tahun yang lalu tika saya juga seperti mereka, bergelar mahasiswa. Demo itu mudah disebut, namun sukar diamal. Awalnya, ia perlu jihad hati agar berjaya mengatasi segala kerisauan dan ketakutan yang tak pasti, lantas minda akan mengarah tubuh badan untuk bergerak dan menuju ke arahnya. Satu, dua, tiga demo, dan seterusnya… Ia kenangan yang bukan setakat manis untuk dikenang, tetapi kekuatan dalaman yang menjadi tunggak kekuatan untuk terus berjuang demi kemenangan Islam. Insya Allah..

Dalam isu pergolakan antara Gaza dan zionis Israel ini, ia bukan setakat isu sengaja menjolok sarang tebuan yang memakan diri, keluarga dan anak-anak. Ia tragedi yang punyai sejarah yang panjang yang harus dihayati, padanya juga ada maruah dan kesahan jati diri muslim dan Islam, padanya juga janji Allah yang pasti yang harus ditadabburkan. Perhatikanlah surah al-Isra’, lihatlah juga surah al-Baqarah yang cabang dan rantingnya menceritakan tentang Bani Israel dari asal kejadian dan sifatnya. Ia bukan isu enteng yang bermusim, tetapi perlu diperjuangkan secara berpanjangan, salah satu caranya, demo.. Dan pastinya pemuda adalah penggerak utamanya.

Seingat saya, semasa zaman mahasiswa dahulu, bukan setakat satu demo menentang kekejaman Zionis Israel ini bahkan lebih dari itu. Di hadapan kedutaan Amerika, di Masjid Negara, di perkarangan universiti dan sebagainya. Demo bukan saja-saja mengukur kekuatan tubuh badan dan jiwa, tetapi padanya ada semangat dan solidariti berpanjangan yang perlu diperjuangkan selagi kemenangan belum dicapai, di samping jalan-jalan menuju kemenangan Islam yang lain.

Jika saudara-saudara mujahidin kita di Gaza berada pada medannya yang sebenar berhadapan dengan senjata sebenar sama ada menang atau syahid, demo adalah salah satu jalan mengukur nisbah kekuatan diri kita dengan mereka secara zahir. Jangan pandang enteng demo itu, kerana padanya ada sesuatu yang tidak ternilai.

Allah ma’ak ya Mutazahiriin..

Ummi, di manakah Allah?

Anak-anak kecil potensi berfikir mereka sangat tinggi, di luar jangkauan manusia biasa kadang kala. Andai satu hari anak anda datang kepada lantas bertanyakan soalan, ‘Allah di mana?’, apakah agaknya jawapan terbaik yang kita boleh berikan kepada mereka? Pening juga kita dibuatnya..

Pada pendapat saya, soalan ini satu petanda besar menunjukkan pemikiran kritikal si anak tadi, di samping peluang keemasan buat ibu memasakkan aqidah tauhid dalam diri anaknya. Justeru, soalan tadi WAJIB dijawab. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah bertanyakan soalan ini,  tetapi saya selalu khuatir jika soalan ini diajukan.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan bertanyakan soalan ini kepada Prof. Dr Ahmad Naufal yang kebetulan membahaskan tentang sifat Allah di dalam kelas pada hari itu. Beliau mengakui bahawa soalan ini adalah soalan yang sangat sukar untuk dijawab kerana beberapa perkara:

1. Jawapan yang hendak diberi hendaklah tidak bertentangan dengan nas dan syariat serta bebas dari unsur tajsim terhadap Allah.

2. Jawapan juga harus bersesuaian dengan tahap pemikiran anak itu sendiri untuk memahami dan menerima penjelasan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar kita kembali kepada uslub al-Quran dalam mendidik manusia ke arah tauhid, iaitu dengan cara menunjukkan dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan bukti kewujudan-Nya secara berterusan dan berulang kali. Fokus kepada sifat Allah, dan bukan zat-Nya.

Oleh itu, jika soalan tersebut diajukan kepada anda, mungkin anda boleh jawab begini:

“Allah itu ada, anakku. Tetapi sebagai manusia akal kita tak mampu untuk fikir Allah di mana. Cuba tengok langit, subhanallah cantik..Itu Allah jadikan. Hari-hari Allah bagi pelbagai nikmat pada  kita, tandanya Allah sayang pada kita manusia. Maksudnya, Allah sangat dekat dengan kita.”

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan).”  (Hud:6)

Pada ketika yang lain, berterusanlah dalam menghubungkan elemen kehidupan dengan tauhidullah.

“Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan anak-anak ummi ke sekolah hari ini”

“Subhanallah, cantiknya lukisan anak ummi. Kehebatan kakak ni, Allah yang bagi, alhamdulillah.”
“Tengok, Israel yang banyak senjata canggih pun boleh takut dengan semangat jihad mujahidin Palestin. ALlah nak tunjuk pada kita tu,kekuatan sebenar bukan pada benda, tapi pada hati dan iman.”

Banyakkan ajar anak-anak kita agar mengingati, berdoa dan mematuhi perintah Allah. Insya Allah semoga Allah memudahkan urusan kita membentuk benih-benih tauhid dan iman dalam diri anak-anak kita, agar mereka mampu menjadi pejuang agama sebenar satu hari nanti, amin.

//

Harga Sebuah Hijrah

الحمدلله ثم الحمدلله…
Tiada ayat dan kata-kata paling layak untuk dilafazkan buat menggambarkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kami sekeluarga. Tika huruf-huruf ini ditaip, saya berada di Sweileh Jordan bagi meneruskan jihad menimba ilmu pengetahuan buat bekalan diri yang serba kekurangan ini. Entah mengapa sudah berbulan-bulan blog ini tidak di’up-date’ sama ada oleh suami ataupun saya sendiri. Berat pada rasa dan keinginan untuk menulis sesuatu, padahal begitu banyak sekali perkara yang boleh dikongsi bersama di sini.

18082011 (Khamis), kami berada di bumi Amman Jordan secara rasminya sebagai muhajir dan musafir ilallah. Tiada niat lain di hati saya selain untuk menimba dan mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dalam kembara ilmiah ini. Sesungguhnya hanya Allah dan diri saya sendiri yang mengetahui betapa kontangnya dada ini dengan ilmu. Mudah-mudahan Allah meredhai perjalanan ini dan sentiasa melorongkan saya pada jalan yang benar, ilmu yang benar dan perjuangan yang benar. Amiin, Ya Rabb. Meskipun kadang kala timbul waswas yang ditiupkan oleh syaitan akan kemampuan diri ini untuk menempuhinya. Namun, kata-kata suami saya yang sentiasa diulanginya kepada saya, “tiada lagi pandang belakang” cepat-cepat mematikan keraguan itu.

Yang penting, saya perlu sentiasa positif, segera mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah, usaha dengan tekad dan berani. Ya, keyakinan perlu ada untuk sebuah perubahan. Perubahan yang didasarkan atas asas hijrah ke arah yang lebih baik dan bukan sebaliknya. Itulah yang penghulu kita baginda Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada umatnya sebagai satu mesej untuk diikuti dan dihayati dalam kehidupan, daripada siri hijrah baginda ke Madinah. Memang mudah untuk memahaminya dengan makna dan kata-kata, tetapi sukar sekali dihayati dan dilaksanakan oleh amal dan perbuatan melainkan dengan bekalan jihad yang kuat.

Saya kini ada segala-galanya, suami di sisi, anak-anak penyeri hidup, nikmat kehidupan kebendaan yang tidak pernah putus, kesihatan yang baik dan segala-galanya lagi yang tidak akan terhenti senarai nikmat itu. Apa lagi yang mampu menghalang diri ini daripada terus melangkah, melainkan tewas dengan hawa nafsu sendiri dan was was daripada syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang. Pilihan ada pada diri saya sendiri, sama ada ingin memberikan harga yang mahal atau murah untuk hijrah ini.

Sesungguhnya Allah sentiasa bersamaku, jika aku sentiasa bersamanya..

-Ummu Awfa-

Di KLIA sebelum bertolak. Ma'assalamah semua..
Di KLIA sebelum bertolak. Ma'assalamah semua..

Wanita: Mendodoiku,disampingku dan ‘si dia tu’

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa”

Surah Al Furqan [25] :74

Dalam tempoh 5 hari sejak dari 20/1 hingga 24/1 ini adalah tempoh-tempoh ujian mental dan fizikal buat saya kerana isteri berkursus BTN di Rembau, Negeri Sembilan.

Alhamdulillah setakat ini, masih terkawal lagi. Semoga Allah memberikan kesabaran yang berterusan untuk menjaga, mengawal dan mendidik 3 orang anak dibawah jagaan saya.

Baru terasa ‘nikmat’ Allah menghadirkan wanita ke dalam kehidupan seorang suami.

“Nak susu…Abi? nak susu.” goyangan Awfa mengejutkan saya ketika sedang di dodoi lena. (Pukul 2 pagi tuh).

Tidak dapat tidak , saya akui kekentalan wanita yang menjaga saya,semenjak didodoikan iaitu ibu dan yang kini berada di samping berkongsi segala-galanya iaitu isteri. Continue reading

Cemas seketika..

Tengah dok khusyuk membuat ulangkaji dalam kelas semalam, tiba-tiba bergetar hanphone dua kali, tandanya ada mesej la tu gamaknya.

Sempat saya mencuri masa untuk membuka sebentar ‘inbox’ mesej.

“Allahu Akbar”..berderau darah membaca mesej. “Ya Allah, apa nih..” perasaan cemas mula menyelinap ke dalam diri.

Terus saya ‘forward’kan mesej tadi kepada seseorang yang terapat. Tumpuan pada pelajaran mula bercelaru.

Alhamdulillah, beberapa minit selepas itu, kelas berhenti ‘istirakhah’.

Saya mengambil kesempatan untuk keluar bertanyakan kepada orang yang paling rapat dalam keluarga saya iaitu kak uda. Saya lebih mesra memanggilnya ‘kak lin’. Continue reading

1432H dan 2011M

“Semangat betul anak aku ni nak pergi sekolah” monolog hati saya, memandang anak sulong dan kedua hendak ke sekolah masing-masing. Yang sulong ke darjah dua dan kedua masih di Pasti Al Husna tapi pada umur yang meningkat. ” Ummi, ‘Ulwan dah 6 tahun ya.” tanya ‘Ulwan. “Ya, dah 6 tahun dah.”sambil tersenyum kecil si ummi.

Diam tak diam,2011 telah melangkah ke hari yang ketiga. Bagi saya hari ini mesti capaikan target RM250 jualan sekurang-kurangnya.

Merenung kembali 2010, pastinya banyak kenangan yang ditinggalkan. Suka, duka, sedih dan gembira semuanya ada. Apa-apa pun dapat juga mengharungi ombak dan badai 2010. Continue reading