Cerita Di Sebalik Kelahirannya..’Ammar.

'Ammar dan Aalaa'
‘Ammar dan Aalaa’

Ini kali pertama saya membuka kisah ini secara umum. Sengaja saya merekodkannya buat ingatan kemudian hari, bahawa Allah adalah segalanya buat hamba-Nya. Lagi pula, boleh saya merehatkan minda sebentar daripada letih menulis tesis, walaupun jari jemari masih menaip. Ini kisah 3 tahun lebih yang lalu.

Temujanji Awfa ke klinik desa awal tahun 2011 itu, membawa saya ke dalam dilema dan ujian yang sangat besar dalam hidup, walaupun bagi yang tidak melaluinya ia nampak kecil. Saya mengambil suntikan rubella setelah jururawat bertanyakan saya dan saya menerimanya tanpa banyak soal walaupun pernah mengambilnya ketika tingkatan satu. Dengan keyakinan yang kuat kerana memang kami merancang untuk tidak hamil dalam tempoh terdekat sebagaimana syarat pengambilan suntikan ini, maka di situlah bermulanya dugaan Allah buat saya dan suami

Tidak dijangka, saya hamil selepas sebulan dari suntikan diambil. Allahu Akbar! Bertanyakan ahli keluarga terdekat yang juga seorang doktor, beliau menyarankan saya ke klinik untuk mendapatkan ubat supaya haid kerana kandungan baru 4 minggu. Saya makan, namun Allah Maha Besar, tiada apa berlaku. Hati sudah gusar kesan fakta-fakta yang dibaca di internet janin yang ibunya dijangkiti rubella atau menerima vaksin rubella di awal kandungan bakal mengalami kecacatan yang tidak perlu disebutkan di sini. Pastinya ia membuatkan saya dan suami berada di persimpangan antara menerima ketentuan Allah atau cuba untuk menentukan pilihan yang pada sangkaan kami lebih baik untuk masa hadapan iaitu, menggugurkan!

Seterusnya, kami berjumpa pakar O&G di DEMC, 6 minggu hamil. Dengan persepsi dan keyakinan bahawa ‘lebih baik puan gugurkan’ daripada doktor pakar tersebut, saya dibekalkan dengan 6 biji pil bulat besar untuk tujuan itu. Bil juga mahal. Itu biasa. Yang tidak biasa, hati saya semakin bergelora sayu. Sehari demi sehari dilalui, tiada yang kering dari air mata. Tikar sejadah setiap malam dihampar, memohon petunjuk dari-Nya, adakah harus aku menelan ubat itu? Dan si kecil itu setiap saat semakin berkembang di bawah lindungan-Nya, dalam 3 kegelapan yang sangat melindungi. Subhanallah..

Detik-detik dilalui hambar, berselang seli dengan rutin kehidupan biasa dengan anak-anak yang sedia ada dan kerjaya. Saya masih tidak menelan ubat itu, walaupun saban hari melihatnya. Fatwa-fatwa dan pendapat ulama’ diselongkar, dan jelas ada keharusan untuk menggugurkan jika ada nasihat daripada pakar dalam tempoh sebelum 120 hari. Fakta-fakta sains dan forum-forum berkaitan semua dicari jika ada sisi yang berbeza. Kes sebegini memang ada berlaku, dan kebanyakannya tidak berakhir sebagaimana teori perubatan tentang kecacatan itu. Itu memberikan saya sedikit kekuatan, tetapi masih tidak cukup kuat.

Ya Allah, kuatkan hatiku dan suami. Berikan kami jalan keluar yag terbaik. Kekhuatiran menerima anak cacat sangat kuat sehingga melemahkan pilihan untuk menerima apa saja ketentuan-Nya. Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Adik saya yang bekerja di Hospital Putrajaya ketika itu mengatakan bahawa ada pakar O&G di situ yang mengendalikan 2 kes sebegini. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik, bayi normal! Bertambah kekuatan, namun belum cukup kuat. Ubat itu masih saya simpan walaupun belum ditelan. Aku perlukan lagi kekuatan Ya Allah..

Hadir tiba-tiba dalam hati, ‘cuba call Dr Zulkifli al-Bakri’.. Dengan mudah saya mendapatkan nombor beliau dan terus menelefonnya. Ketika itu waktu petang, di pejabat, beberapa minit sebelum saya pulang. Alhamdulillah panggilan berangkat dan kedengaran suara yang biasanya saya dengar dicorong radio IKIM fm setiap petang Jumaat itu. Masalah dinyatakan secara ringkas dan terus. Beliau menjawab,’Memang ada keharusan untuk menggugurkan dalam kes puan ini, tetapi… saya rasa elok teruskan. Dia sudah hidup’. Jawapan itu ringkas, tetapi sangat kuat dan padat buat saya. Kekuatan yang menetapkan jiwa dan hati saya bahawa kandungan ini akan diteruskan. Air mata bercucuran, kerana Dia memberikan jawapan melalui sebab yang terbaik buat saya, melalui fatwa hati seorang ulama! Ya, fatwa hati ulama’ yang wara’..

Balik ke rumah, ubat itu saya buang supaya tidak hadir was-was syaitan yang membolak balikkan hati. Alhamdulillah, ketenangan hadir, redha menyelubungi hati. Sehinggalah akhirnya selepas itu Allah mengurniakan jalan-jalan yang pelbagai yang hadir sebagai nikmat kepada kami sekeluarga. Bayi itu lahir di bumi anbiya’. Suatu perkara yang tidak pernah saya jangka dan rancang untuk berlaku, tetapi itulah ketetapan-Nya Yang Maha Mengetahui. Semoga anak ini membesar sebagai mujahid agama dan penyebar risalah Allah di bumi ini.

Buat akhirnya, dalam menghadapi apa saja ujian dalam hidup ini, rujuklah para ulama’ yang dipercayai, kerana daripadanya lahir keberkatan, meskipun zahirnya bertentangan dengan fakta-fakta yang sedia ada. Allahu Akbar!

 

 

Advertisements

Masa Kerja 8-3?

Sekadar idea spontan yang timbul, kesan pemerhatian saya terhadap masa kerja di bumi Syam ini. Kebanyakannya bermula 9 pagi atau lebih awal sikit iaitu 8 pagi dan berakhir jam 3 petang. Saya lihat mereka santai dalam bekerja, kurang tekanan dibandingkan dengan waktu kerja kita di Malaysia yang kebanyakannya ‘8 to 5’. Keluar awal pagi gelap, sampai rumah juga senja. Wajarkah idea ini, masa kerja bermula dari 8 pagi dan berakhir jam 3 petang?

Justifikasi saya, secara ringkas;

1. Tekanan kerja dan rutin yang menyesakkan dada, khususnya bagi yang berkeluarga. Anak perlu diurus seawalnya, masa bekerja sendiri juga perlu ditepati menyebabkan tiada pilihan lain selain keluar di awal pagi. Ditambah dengan tempat kerja yang berjauhan dengan rumah, traffic jam, dan sebagainya lagi. Sekurang-kurangnya dengan masa pulang yang lebih awal hati rasa lebih tenang dan tenteram.

2. Kadar peratus wanita bekerja yang tinggi di Malaysia. Tenaga wanita sangat diperlukan dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan dan perubatan. Justeru, pemendekan masa bekerja mengurangkan sedikit tekanan fizikal dan emosi wanita lalu lebih banyak waktu untuk keluarga dan anak-anak.

3. Pemendekan masa mengurangkan produktiviti negara? Dahulu ketika kerajaan persekutuan mula melaksanakan cuti 2 hari seminggu sebagaimana yang dilakukan pertama kalinya oleh kerajaan negeri Kelantan, alasan ini adalah antara yang ditimbulkan. Kini, setelah pelaksanaan itu, adakah anda mendapati perkara itu berlaku? Jawab sendiri. Apa yang penting bukan panjangnya masa, tetapi bagaimana kita mengurus masa yang ada itu.

4. Keluarga adalah unit asas dalam pembentukan sebuah negara yang berkualiti dan makmur. Keluarga yang bahagia dan kurang konflik melahirkan masyarakat yang dinamik dan kurang masalah sosial, insya Allah.

Wajarkah idea ini dibahaskan dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan?

Ayat Mereka, Ayat Aqidah Sahih.

Catatan 5 tahun yang lalu, masih valid dan akan sentiasa valid..

myawfa

Allahu Ghaayatuna

“Innii la akhafu Israel. Hasbiyallahu ni’mal wakil..” Sesungguhnya saya tidak takut Israel. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pelindung. Kata Abbas kanak-kanak lelaki Palestin berusia 10 tahun.

“La akhaf. Innallaha saufa yubaddil ‘ala maa faata minna” Saya tidak takut/risau. Sesungguhnya Allah akan menggantikan apa yang telah hilang dari kami. Seorang lelaki Palestin dengan ceria berkata kepada rakan-rakannya.

Seorang jurucakap Hamas berkata dalam satu majlis yang diadakan di Selangor Jumaat lalu berkata, “Hamas cukup dibenci dan digeruni oleh Israel kerana sentiasa berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup. Agenda Israel adalah menghancurkan umat Islam di sini daripada segala segi seperti pendidikan, ekonomi dan pentadbiran dan paling utama cuba hancurkan agama Islam itu sendiri,”

“Kami bersedia untuk mati syahid. Itulah cita-cita kami. Jika seribu daripada kami gugur akan muncul seribu lagi pejuang yang sanggup berjuang untuk membebaskan bumi suci ini.” Seorang pejuang Hamas berbicara kepada wartawan Majalah 3.

View original post 353 more words

14+12+13=11

Alhamdulillah pada tarikh itu, sudah 11 tahun rupanya kami hidup bersama. Tempoh yang agak panjang bagi sebuah perkahwinan. Jika 11 tahun itu adalah usia pokok durian, pastinya ia sudah membuahkan hasil beberapa kali untuk tuannya. Begitu juga dengan ikatan ini. Hasil mahsul daripada ikatan ini, kami kini sudah punyai 5 orang cahaya mata penyejuk mata dan penghibur hati.

Namun, lebih istimewa lagi untuk kali ke-11 ini, kami menyambutnya secara berasingan buat pertama kalinya..! Cinta antara benua. Anak-anak juga terbahagi dua. Hanya Allah Maha Mengetahui segala isi hati ini dan suami. Bak ayat watsAppnya, ‘hanya Allah yang tahu..’. Pada awalnya saya sendiri tidak pasti adakah saya khususnya dan suami mampu menghadapi situasi ini? Kami hanya hamba yang pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi, dan sangat yakin bahawa tersedia 1001 hikmah yang tidak kami ketahui meskipun zahirnya nampak perit.

Ya Allah, rahmati dan bimbinglah kami…

Mengapa Firaun Mati Lemas?

6795811362_636be29076_m

Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah:50:

وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَيۡنَـٰڪُمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ

Bermaksud:” Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

Imam Al-Alusi (meninggal 1270H) menyatakan di dalam kitab tafsirnya Al-Tahrir wa al-Tanwir, sebab menurut beliau mengapa Firaun dimatikan oleh ALlah dengan kematian secara lemas,dan bukan dengan cara disembelih sebagaimana ia lakukan kepada Bani Israel terdahulu. Menurut beliau ada dua sebab:

1. Mati lemas adalah kaedah mati yang paling sukar berbanding disembelih kerana ia berlaku secara beransur-ansur. Mangsa akan mengalami kesukaran dan kesakitan yang lebih berbanding disembelih. Sebab itu ada pendapat mengatakan bahawa mati lemas itu dikategorikan sebagai syahid dunia (bagi mereka yang layak). Allah Taala merakamkan kepada kita saat genting sebelum kematian Firau dalam surah Yunus:90:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آَمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آَمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud:”Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam (lemas) berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).

2. Adapun mati dengan cara disembelih lebih cepat kerana kematian berlaku serta merta kesan salur pernafasan yang dipotong. Justeru, Allah SWT bertujuan menyeksa Firaun dengan seksaan yang dahsyat sebelum ia dimatikan dan menjadi iktibar buat para pezalim dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Allah menjelaskan kepada kita dalam surah Yunus:92:

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آَيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آَيَاتِنَا لَغَافِلُونَ 

Bermaksud:”Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada  tanda-tanda kekuasaan Kami.”

Ingatlah bahawa Allah tidak pernah lalai daripada memerhatikan hamba-hamba-Nya. Segala perbuatan manusia akan dibalas setimpal secara adil di sisi Allah kerana Dialah Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan batin, yang tersurat dan tersirat.

Apa Ada Pada Surah Al-Kahfi?

 

Terdapat banyak riwayat hadith dari Nabi S.A.W yang menyatakan tentang kelebihan bagi mereka yang membaca surah al-Kahfi akan terlindung daripada fitnah Dajjal. Antara hadith tersebut;

1. وعن أَبي الدرداءِ – رضي الله عنه – أنَّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ (وروي من آخر) سُورَةِ الكَهْفِ، عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Bermaksud: Dari Abu Darda’ sesungguhnya Rasulullah S.A.W berkata:”Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari awal surah (riwayat lain, dari akhir surah) al-Kahfi, ia dilindungi daripada Dajjal. (Hadith riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

2. وعن أبي سعيدٍ عن النبي – صلى الله عليه وسلم: «من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بينه وبين الجمعتين

Bermaksud: Dari ABu Sa’id al-Khudri, dari Nabi S.A.W:”Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat cahaya meneranginya antara 2 Jumaat. (Hadith riwayat al-Hakim dan beliau menyatakannya sahih) Continue reading

Kerana Shita’ Itu Makhluk Allah..

DSC00431

Shita’..
Datangnya ada yang suka ada yang duka
Ada yang tertunggu-tunggu
Ada juga yang kalau boleh tidak mahu

Shita..
Bila kau datang
Seluruh permukaan ibarat bayi bersih tanpa noda
Walau secalit debu tidak kutemu
Harap-harap hatiku juga begitu
Walau jauh di hati, ‘hanya Allah saja yang Maha Tahu’

Shita..
Datangmu walau seketika
Jiwaku terinspirasi
Mudahan aku menjadi sepertimu
Yang taat dan patuh pada Yang Satu
Kerana kau juga makhluk sepertiku.

Hanya Dia

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya di sisi Allahlah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim, sedangkan (manusia) tidak mengetahui apa yang ia bakal usaha dan dapati pada esok hari, dan dia (manusia) tidak mengetahui di bumi manakah dia akan mati, sesungguhnya ALlah Maha Mengetahui dan Maha Meliputi Pengetahuannya

(Surah Luqman:34)

Ummi, di manakah Allah?

Anak-anak kecil potensi berfikir mereka sangat tinggi, di luar jangkauan manusia biasa kadang kala. Andai satu hari anak anda datang kepada lantas bertanyakan soalan, ‘Allah di mana?’, apakah agaknya jawapan terbaik yang kita boleh berikan kepada mereka? Pening juga kita dibuatnya..

Pada pendapat saya, soalan ini satu petanda besar menunjukkan pemikiran kritikal si anak tadi, di samping peluang keemasan buat ibu memasakkan aqidah tauhid dalam diri anaknya. Justeru, soalan tadi WAJIB dijawab. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah bertanyakan soalan ini,  tetapi saya selalu khuatir jika soalan ini diajukan.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan bertanyakan soalan ini kepada Prof. Dr Ahmad Naufal yang kebetulan membahaskan tentang sifat Allah di dalam kelas pada hari itu. Beliau mengakui bahawa soalan ini adalah soalan yang sangat sukar untuk dijawab kerana beberapa perkara:

1. Jawapan yang hendak diberi hendaklah tidak bertentangan dengan nas dan syariat serta bebas dari unsur tajsim terhadap Allah.

2. Jawapan juga harus bersesuaian dengan tahap pemikiran anak itu sendiri untuk memahami dan menerima penjelasan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar kita kembali kepada uslub al-Quran dalam mendidik manusia ke arah tauhid, iaitu dengan cara menunjukkan dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan bukti kewujudan-Nya secara berterusan dan berulang kali. Fokus kepada sifat Allah, dan bukan zat-Nya.

Oleh itu, jika soalan tersebut diajukan kepada anda, mungkin anda boleh jawab begini:

“Allah itu ada, anakku. Tetapi sebagai manusia akal kita tak mampu untuk fikir Allah di mana. Cuba tengok langit, subhanallah cantik..Itu Allah jadikan. Hari-hari Allah bagi pelbagai nikmat pada  kita, tandanya Allah sayang pada kita manusia. Maksudnya, Allah sangat dekat dengan kita.”

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan).”  (Hud:6)

Pada ketika yang lain, berterusanlah dalam menghubungkan elemen kehidupan dengan tauhidullah.

“Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan anak-anak ummi ke sekolah hari ini”

“Subhanallah, cantiknya lukisan anak ummi. Kehebatan kakak ni, Allah yang bagi, alhamdulillah.”
“Tengok, Israel yang banyak senjata canggih pun boleh takut dengan semangat jihad mujahidin Palestin. ALlah nak tunjuk pada kita tu,kekuatan sebenar bukan pada benda, tapi pada hati dan iman.”

Banyakkan ajar anak-anak kita agar mengingati, berdoa dan mematuhi perintah Allah. Insya Allah semoga Allah memudahkan urusan kita membentuk benih-benih tauhid dan iman dalam diri anak-anak kita, agar mereka mampu menjadi pejuang agama sebenar satu hari nanti, amin.

//

Takbir Sendi Kehidupan

“Allahu Akbar Allahu Akbar…”

Laungan takbir di pagi fajar  itu menghentikan muslim daripada mengambil makanan atau minuman lagi. Bermulalah puasa mereka pada hari Ramadhan itu, dengan kesungguhan menahan diri daripada makan dan minum, serta memelihara kemaluan mereka sehinggalah Maghrib yang bakal menjelma nanti.

“Allahu Akbar Allahu Akbar…”

Laungan takbir di remang senja itu menunjukkan masa berbuka sudah tiba. Tanpa lengah umat Islam mula berbuka tanda selesailah puasa mereka untuk hari itu. Ada yang berbuka secara sederhana, ada juga yang berlebih-lebihan, dan tidak kurang juga yang tidak punya apa untuk berbuka kecuali air pengubat dahaga.

Inilah rutin harian Ramadhan bagi umat Islam sepanjang sebulan. Hikmahnya sangat  besar dapat dilihat bahawa pembeza antara halal dan haramnya makanan dalam bulan Ramadhan ini adalah takbir! Takbir itu membesarkan ALlah dan mendahulukan-Nya dalam segala perkara berbanding yang lain. Kita sangat patuh dan teliti kepada halal dan haram dalam bab makan dan minum serta perkara yang melibatkan jasad kita secara zahir, nampak dan dapat dirasa, dan kurang peka atau buat-buat tidak tahu dalam perkara yang lain, sedangkan yang zahir itu hanya sebahagian sahaja daripada Islam dan begitu banyak lagi perkara yang harus dipatuhi dalam Islam.

Sebagai contoh, bab muamalat dalam kewangan, perbankan dan jual beli. Sering kali muslim tidak mengendahkan tentang pilihan secara Islam yang ada hanya kerana yang Islamik itu tidak menguntungkan mereka. Begitu juga dalam hal perundangan, pemerintahan, kehakiman dan sebagainya yang melibatkan kesan yang tidak nampak kepada diri seringkali diabaikan. Seharusnya sebagai seorang yang beriman dengan Allah, terjemahan iman itu harus ada dalam segala lapangan kehidupan bukannya bukti-bukti terpilih sahaja.  Jika tidak samalah dengan seorang pekerja yang hanya patuh pada arahan tertantu sahaja daripada majikannya, dan mengabaikan yang lain. Pastinya pekerja ini tidak digemari oleh majikannya.

Marilah kita cuba beriman dengan firman Allah Taala ini: ( Al-Ahzab:36)

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

36. dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara  (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Semoga Ramadhan ini mencetuskan kekuatan yang berpanjangan kepada kita untuk berpegang teguh dengan Islam dalam segala perkara dan bukan hanya memilih yang berkenan dengan selera dan hawa nafsu manusia semata-mata.