14+12+13=11

Alhamdulillah pada tarikh itu, sudah 11 tahun rupanya kami hidup bersama. Tempoh yang agak panjang bagi sebuah perkahwinan. Jika 11 tahun itu adalah usia pokok durian, pastinya ia sudah membuahkan hasil beberapa kali untuk tuannya. Begitu juga dengan ikatan ini. Hasil mahsul daripada ikatan ini, kami kini sudah punyai 5 orang cahaya mata penyejuk mata dan penghibur hati.

Namun, lebih istimewa lagi untuk kali ke-11 ini, kami menyambutnya secara berasingan buat pertama kalinya..! Cinta antara benua. Anak-anak juga terbahagi dua. Hanya Allah Maha Mengetahui segala isi hati ini dan suami. Bak ayat watsAppnya, ‘hanya Allah yang tahu..’. Pada awalnya saya sendiri tidak pasti adakah saya khususnya dan suami mampu menghadapi situasi ini? Kami hanya hamba yang pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi, dan sangat yakin bahawa tersedia 1001 hikmah yang tidak kami ketahui meskipun zahirnya nampak perit.

Ya Allah, rahmati dan bimbinglah kami…

Advertisements

Ramadhan: Saranan Buat Ibu Dan Isteri

Ramadhan

Alhamdulillah, Allah Taala memilih kita hamba-Nya yang serba lemah ini untuk kembali menemui Ramadhan bulan segala rahmat dan keberkatan dari Allah Taala. Justeru, rugilah bagi mereka yang menganggap dan merasai bahawa bulan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, tiada yang istimewa padanya. Pandangan ini adalah pandangan zahir, pandangan tanpa iman. Sedangkan keistimewaan bulan ini bergantung kepada keimanan dan keyakinan kita akan kasih sayang Allah kepada para hamba-Nya dengan membuka seluasnya pintu rahmat agar kita berebut-rebut memilikinya. Buat sedikit, balasan berganda-ganda. Bonus sepanjang bulan, pasti kita mahu bukan?

Sebagai isteri dan ibu, pastinya peranan kita sangat penting sepanjang bulan ini. Yang pasti bukan sahaja tanggungjawab kepada orang lain sahaja yang perlu dititikberatkan, malah lebih-lebih lagi peluang ibadah untuk bekalan diri sendiri juga perlu dititikberatkan, supaya kita tidak terlepas peluang ini. Justeru, mari kita berkongsi beberapa perkara yang boleh kita cuba untuk amalan dan penambahbaikan buat diri sepanjang Ramadhan ini.

1. Alhamdulillah, Ramadhan adalah peluang terbaik  untuk kita melakukan qiamullail. Sebelum menyediakan hidangan bersahur, bangunlah awal sedikit dalam 15 hingga 30 minit sekurang-kurangnya untuk munajat pada Allah dengan solat tahajjud dan ibadah-ibadah yang lain. Rasailah kemanisannya bermunajat dengan Allah Taala.. Subhanallah. Jangan lupa kejutkan suami sekali untuk qiyamullail.

2. Bawalah al-Quran ketika ke tempat kerja supaya masa-masa yang terluang seperti masa rehat dapat dimanfaatkan untuk tilawah dan tadabbur al-Quran. Al-Quran dengan terjemahan adalah lebih baik. Lebih-lebih lagi jika ibu sedang mengandung, anak di dalam kandungan akan sentiasa subur dengan bacaan al-Quran, mudah-mudahan ada kesan terhadap perkembangan anak, insya Allah..

3. Jika berkemampuan untuk solat terawih berjemaah di masjid, itu peluang terbaik. Walau anak masih kecil kita sebenarnya tidak terhalang untuk berjemaah ke masjid asal ada kekuatan, keberanian dan persediaan. Pilihlah saf pada bahagian-bahagian yang hujung agar mudah meletakkan anak-anak dan tidak mengganggu jemaah lain, cepat bertindak jika anak menangis, dan yang penting bawa persediaan makanan, permainan yang sesuai untuk membantu mengurangkan ragam si anak. Kita usaha, insya Allah everything goes well..

4. Bawa sejumlah wang kecil untuk melatih anak bersedekah di tabung-tabung masjid. Pasti mereka gembira..Kita sendiri perbanyakkanlah bersedekah walau sedikit, asal ikhlas. Allah tidak melihat kualiti, tetapi kualiti.

5. Ibu adalah orang yang paling tercabar dalam melatih anak-anak yang baru belajar berpuasa. Cuba pujuk si anak dengan pujukan-pujukan yang baik dan yang penting sentuhan fizikal adalah yang terbaik. Pujuk dan peluk mereka dengan disulami kata-kata semangat buat mereka, melainkan jika fizikal mereka sudah tidak kuat untuk menahan lapar dan dahaga, maka tidak mengapa..

6. Dalam menyediakan juadah berbuka sebagaimana Nabi S.A.W mengajar kita agar bersederhana. Mungkin agak abstrak bunyinya sederhana itu, tetapi saya berpendapat cukuplah jika hidangan berbuka itu ada satu lauk, satu sayur, satu hidangan pencuci mulut atau kuih, buah dan air serta tamar. Jika ingin meraikan anak yang berpuasa sekalipun, jangan sehingga 3 atau 4 lauk dihidangkan yang akhirnya membawa pembaziran. Lagipun makan lauk yang banyak dalam satu masa juga kurang baik untuk kesihatan. Mudah-mudahan gaya pemakanan sebegini berterusan sehingga selepas Ramadhan kerana ia lebih baik dan yang pasti juga memudahkan tugas kita. Yang dekat dengan syariat itu sebenarnya sangat mudah.

7. Sementara menantikan waktu berbuka bersama ahli keluarga, ada baiknya juga kalau ayah dan ibu bertazkirah santai dengan anak-anak, tentang tujuan berpuasa, perasaan mereka berpuasa dan ajakan agar sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur dan apa-apa sahaja. Anak-anak pasti gembira dengan keprihatinan ibu dan ayahnya beserta ingatan yang diberi walaupun secara tidak langsung.

Sesungguhnya segala amal soleh yang kita lakukan pada bulan ini adalah ibadah jika diniatkan ikhlas kerana Allah. Bergeraklah menuju hidayah Allah dalam segenap aspek kehidupan kita, pasti Allah menunjukkan jalan dan memudahkan segala urusan kita.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Bermaksud: “Dan orang-orang yang sentiasa bermujahadah di jalanKu, pasti Kami akan tunjukkan kepadanya jalan-jalan (hidayah) Kami. Dan sesungguhnya Allah pasti bersama orang-orang yang membaiki diri.”

(Al-Ankabut:69)

Bulan inilah puncak kekuatannya agar hidayah itu bertahan untuk bulan-bulan seterusnya. Sungguh, Allah Kareem, Ramadhan Akram..

Selamat beribadah duhai ibu dan isteri.. 8)

Mengapa Firaun Mati Lemas?

6795811362_636be29076_m

Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah:50:

وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَيۡنَـٰڪُمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ

Bermaksud:” Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

Imam Al-Alusi (meninggal 1270H) menyatakan di dalam kitab tafsirnya Al-Tahrir wa al-Tanwir, sebab menurut beliau mengapa Firaun dimatikan oleh ALlah dengan kematian secara lemas,dan bukan dengan cara disembelih sebagaimana ia lakukan kepada Bani Israel terdahulu. Menurut beliau ada dua sebab:

1. Mati lemas adalah kaedah mati yang paling sukar berbanding disembelih kerana ia berlaku secara beransur-ansur. Mangsa akan mengalami kesukaran dan kesakitan yang lebih berbanding disembelih. Sebab itu ada pendapat mengatakan bahawa mati lemas itu dikategorikan sebagai syahid dunia (bagi mereka yang layak). Allah Taala merakamkan kepada kita saat genting sebelum kematian Firau dalam surah Yunus:90:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آَمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آَمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud:”Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam (lemas) berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).

2. Adapun mati dengan cara disembelih lebih cepat kerana kematian berlaku serta merta kesan salur pernafasan yang dipotong. Justeru, Allah SWT bertujuan menyeksa Firaun dengan seksaan yang dahsyat sebelum ia dimatikan dan menjadi iktibar buat para pezalim dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Allah menjelaskan kepada kita dalam surah Yunus:92:

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آَيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آَيَاتِنَا لَغَافِلُونَ 

Bermaksud:”Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada  tanda-tanda kekuasaan Kami.”

Ingatlah bahawa Allah tidak pernah lalai daripada memerhatikan hamba-hamba-Nya. Segala perbuatan manusia akan dibalas setimpal secara adil di sisi Allah kerana Dialah Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan batin, yang tersurat dan tersirat.

Apa Ada Pada Surah Al-Kahfi?

 

Terdapat banyak riwayat hadith dari Nabi S.A.W yang menyatakan tentang kelebihan bagi mereka yang membaca surah al-Kahfi akan terlindung daripada fitnah Dajjal. Antara hadith tersebut;

1. وعن أَبي الدرداءِ – رضي الله عنه – أنَّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ (وروي من آخر) سُورَةِ الكَهْفِ، عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Bermaksud: Dari Abu Darda’ sesungguhnya Rasulullah S.A.W berkata:”Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari awal surah (riwayat lain, dari akhir surah) al-Kahfi, ia dilindungi daripada Dajjal. (Hadith riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

2. وعن أبي سعيدٍ عن النبي – صلى الله عليه وسلم: «من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بينه وبين الجمعتين

Bermaksud: Dari ABu Sa’id al-Khudri, dari Nabi S.A.W:”Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat cahaya meneranginya antara 2 Jumaat. (Hadith riwayat al-Hakim dan beliau menyatakannya sahih) Continue reading

Kita Mengingatinya Setahun Sekali, Beliau Mengingati Kita Sepanjang Masa

Dia Muhammad S.A.W utusan Allah pembawa risalah tauhid buat manusia sekelian alam. Cintanya kepada Allah adalah cinta yang paling agung. Cintanya kepada umatnya adalah inspirasi dalam menjalankan dakwahnya. Lihatlah betapa cintanya Nabi S.A.W kepada umatnya;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَلَا قَوْلَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي إِبْرَاهِيمَ { رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِنْ النَّاسِ فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي } الْآيَةَ وَقَالَ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَام { إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ } فَرَفَعَ يَدَيْهِ وَقَالَ اللَّهُمَّ أُمَّتِي أُمَّتِي وَبَكَى فَقَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ إِلَى مُحَمَّدٍ وَرَبُّكَ أَعْلَمُ فَسَلْهُ مَا يُبْكِيكَ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَسَأَلَهُ فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا قَالَ وَهُوَ أَعْلَمُ فَقَالَ اللَّهُ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ إِلَى مُحَمَّدٍ فَقُلْ إِنَّا سَنُرْضِيكَ فِي أُمَّتِكَ وَلَا نَسُوءُكَ

(Hadith riwayat Muslim dan Nasaie)

Bermaksud: Dari Abdullah bin Amru Ibn al-As sesungguhnya Nabi S.A.W membaca ayat Allah Taala tentang Nabi Ibrahim :(Tuhan, sesungguhnya mereka telah menyesatkan ramai manusia, maka siapa yang mengikutiku maka sesunguhnya ia daripadaku), dan berkata Isa (seperti di dalam al-Quran): (Sekiranya Engkau mengazab mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu dan sekiranya Engkau mengampunkan mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Hebat dan Maha Bijaksana). Maka Nabi S.A.W mengangkat kedua tangannya dan berkata:”Ya Tuhanku, umatku, umatku”, lalu baginda menangis. Berkata Allah:”Wahai  Jibril, pergilah engkau temui Muhammad dan Tuhanmu lebih mengetahui, dan tanyakan kepadanya apa yang menyebabkannya menangis”. Maka Jibril menjumpai Nabi S.A.W dan bertanyakan kepadanya, maka beliau mengkhabarkan apa yang dikatakannya kepada Jibril, sedangkan Allah lebih mengetahui. Maka Allah berkata:”Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Kami meredhai engkau (Muhammad) dan umatmu dan kami tidak akan melakukan kejahatan kepadamu”

Dalam hadith yang lain;

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَقَرَأَ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ يَرْكَعُ بِهَا وَيَسْجُدُ بِهَا اإِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ {فَلَمَّا أَصْبَحَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا زِلْتَ تَقْرَأُ هَذِهِ الْآيَةَ حَتَّى أَصْبَحْتَ تَرْكَعُ بِهَا وَتَسْجُدُ بِهَا قَالَ إِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ الشَّفَاعَةَ لِأُمَّتِي فَأَعْطَانِيهَا وَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لِمَنْ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا

(Riwayat Imam Ahmad)

Bermaksud: Dari Abu Zarr berkata, Rasulullah S.A.W bangun malam lalu membaca satu ayat sehingga subuh, dan beliau rukuk dan sujud dengan (membaca) ayat tersebut,(Jika Engkau mengazab mreka maka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu dan jika Engkau mengampunkan mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Hebat dan Bijaksana). Apabila pagi, aku berkata, Wahai Rasulullah, engkau berterusan membaca ayat ini sehingga pagi dan engkau rukuk dan sujud dengannya. Beliau berkata:”Sesungguhnya aku meminta kepadaTuhanku syafaat untuk umatku, maka ia mengabulkan permintaanku, dan ia akan diperolehi jika dikehendaki Allah kepada  sesiapa yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

Subhanallah, baginda begitu mengingati  dan menyintai umatnya sehinggakan berqiyamullail dan bermunajat kepada Allah semata-mata untuk mendapatkan syafaat Allah buat umatnya di akhirat kelak. Sesungguhnya satu kerugian yang sangat besar buat kita umatnya jika kita tidak berusaha sepanjang hidup untuk benar-benar mentauhidkan diri dan kehidupan hanya untuk Allah, ini bermakna seluruh kehidupan kita adalah perjuangan menegakkan kalimah tauhid dalam segala aspek kehidupan

Ketahuilah, jika kita kata kita mencintai Allah, ikutilah jejak langkah dan perjuangan dakwah Nabi S.A.W. Kerana syarat cinta Allah adalah mengikuti sunnah Rasulullah dan perjuangan baginda, kerana dengan cara ini sajalah kita akan sentiasa mengingati baginda sepanjang masa dan bukannya setahun sekali. Sedangkan Nabi mengingati umatnya sepanjang waktu, siapalah kita untuk  tidak menyambut ingatannya buat kita

Kerana Shita’ Itu Makhluk Allah..

DSC00431

Shita’..
Datangnya ada yang suka ada yang duka
Ada yang tertunggu-tunggu
Ada juga yang kalau boleh tidak mahu

Shita..
Bila kau datang
Seluruh permukaan ibarat bayi bersih tanpa noda
Walau secalit debu tidak kutemu
Harap-harap hatiku juga begitu
Walau jauh di hati, ‘hanya Allah saja yang Maha Tahu’

Shita..
Datangmu walau seketika
Jiwaku terinspirasi
Mudahan aku menjadi sepertimu
Yang taat dan patuh pada Yang Satu
Kerana kau juga makhluk sepertiku.

Hanya Dia

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya di sisi Allahlah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim, sedangkan (manusia) tidak mengetahui apa yang ia bakal usaha dan dapati pada esok hari, dan dia (manusia) tidak mengetahui di bumi manakah dia akan mati, sesungguhnya ALlah Maha Mengetahui dan Maha Meliputi Pengetahuannya

(Surah Luqman:34)

Ummi, di manakah Allah?

Anak-anak kecil potensi berfikir mereka sangat tinggi, di luar jangkauan manusia biasa kadang kala. Andai satu hari anak anda datang kepada lantas bertanyakan soalan, ‘Allah di mana?’, apakah agaknya jawapan terbaik yang kita boleh berikan kepada mereka? Pening juga kita dibuatnya..

Pada pendapat saya, soalan ini satu petanda besar menunjukkan pemikiran kritikal si anak tadi, di samping peluang keemasan buat ibu memasakkan aqidah tauhid dalam diri anaknya. Justeru, soalan tadi WAJIB dijawab. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah bertanyakan soalan ini,  tetapi saya selalu khuatir jika soalan ini diajukan.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan bertanyakan soalan ini kepada Prof. Dr Ahmad Naufal yang kebetulan membahaskan tentang sifat Allah di dalam kelas pada hari itu. Beliau mengakui bahawa soalan ini adalah soalan yang sangat sukar untuk dijawab kerana beberapa perkara:

1. Jawapan yang hendak diberi hendaklah tidak bertentangan dengan nas dan syariat serta bebas dari unsur tajsim terhadap Allah.

2. Jawapan juga harus bersesuaian dengan tahap pemikiran anak itu sendiri untuk memahami dan menerima penjelasan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar kita kembali kepada uslub al-Quran dalam mendidik manusia ke arah tauhid, iaitu dengan cara menunjukkan dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan bukti kewujudan-Nya secara berterusan dan berulang kali. Fokus kepada sifat Allah, dan bukan zat-Nya.

Oleh itu, jika soalan tersebut diajukan kepada anda, mungkin anda boleh jawab begini:

“Allah itu ada, anakku. Tetapi sebagai manusia akal kita tak mampu untuk fikir Allah di mana. Cuba tengok langit, subhanallah cantik..Itu Allah jadikan. Hari-hari Allah bagi pelbagai nikmat pada  kita, tandanya Allah sayang pada kita manusia. Maksudnya, Allah sangat dekat dengan kita.”

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan).”  (Hud:6)

Pada ketika yang lain, berterusanlah dalam menghubungkan elemen kehidupan dengan tauhidullah.

“Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan anak-anak ummi ke sekolah hari ini”

“Subhanallah, cantiknya lukisan anak ummi. Kehebatan kakak ni, Allah yang bagi, alhamdulillah.”
“Tengok, Israel yang banyak senjata canggih pun boleh takut dengan semangat jihad mujahidin Palestin. ALlah nak tunjuk pada kita tu,kekuatan sebenar bukan pada benda, tapi pada hati dan iman.”

Banyakkan ajar anak-anak kita agar mengingati, berdoa dan mematuhi perintah Allah. Insya Allah semoga Allah memudahkan urusan kita membentuk benih-benih tauhid dan iman dalam diri anak-anak kita, agar mereka mampu menjadi pejuang agama sebenar satu hari nanti, amin.

//

Al-Quran Dan Arab

Al-Quran itu turun dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab. Kenapa Bahasa Arab dan Arab? Kenapa tidak Bahasa Melayu dan Melayu? Jika demikian, pasti mudah bagi kita orang Melayu membacanya lebih-lebih lagi memahaminya, tidaklah hanya menjadi kakak tua yang tahu berkata-kata tanpa memahami makna butiran katanya.

Mengapa Bahasa Arab?

Dahulu, saya pernah mendengar seorang cendikiawan Malaysia menyebut dalam pembentangan kertas kerjanya di sebuah seminar anjuran IKIM, mengatakan bahawa antara bahasa yang mempunyai nilai mantiq yang tinggi ialah bahasa Arab, bahasa Urdu, bahasa Turki dan bahasa Melayu. Saya meyakininya ketika itu, tetapi kini setelah serba sedikit mendalami tentang al-Quran melalui dalalah bahasanya, saya menyaksikan kebenaran pernyataan tersebut. Sungguh, bahawa bahasa  Arab adalah bahasa yang sangat unik dan indah apabila memahaminya kerana setiap dalalah atau makna yang ingin disampaikan mempunyai perkataannya yang tersendiri yang bersesuaian  dengan konteks atau situasi. Justeru, keistimewaan ini menyebabkan lahirnya pelbagai tafsiran terhadap al-Quran yang pada hakikatnya adalah perbezaan yang mempelbagaikan makna dan bukannya bertentangan makna, selagimana tidak bertentangan dengan asas-asas Islam itu sendiri. Hasilnya, tafsiran ayat-ayat al-Quran menjadi sangat jelas dan mendalam maksudnya sama ada dalam membahaskan tentang ayat-ayat tentang aqidah mahupun syariat, kerana akhirnya tafsiran-tafsiran ini membuktikan bahawa al-Quran adalah mukjizat maknawi yang kekal dan sesuai untuk sepanjang zaman dan di mana-mana sekalipun.

Para pengkaji bahasa banyak membincangkan tentang asal-usul bahasa dan antara pendapat yang diterima ramai adalah, bahawa bahasa Arab adalah bahasa tertua di dunia, dan daripadanyalah berkembangnya bahasa-bahasa yang lain di dunia ini. Para ulama bahasa Arab terdahulu  menguatkan lagi hujah ini dengan pendapat yang rajih di kalangan mereka yang mengatakan bahawa bahasa Arab merupakan bahasa terawal dan sampai kepada manusia secara tauqifi yakni datang dari Allah secara langsung dan bukannya Istilahi yakni diketahui manusia secara sendiri. Dalilnya ayat Allah dalam surah al-Baqarah:31:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ

Bermaksud: Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.

Kelebihan-kelebihan lain juga adalah bahasa ini kekal berterusan sehingga kini tanpa perubahan, bahkan ia mampu ditutur dan dibaca serta dihafaz oleh jutaan manusia seluruh dunia. Selain itu, perkataan Arab juga banyak dipinjam ke bahasa-bahasa yang lain khususnya bahasa lain yang turut memiliki nilai mantiq yang tinggi tadi, bahkan bahasa Inggeris juga banyak meminjam kata dari bahasa Arab.

Mengapa Arab?

Mereka bangsa terpilih,bukan bermakna mereka memiliki segala keistimewaan. Dalam hal ini, saya akan membicarakannya berdasarkan sedikit pengalaman berada di negara Arab, kerana apabila saya berada di tengah-tengah kehidupan mereka barulah saya memahami dengan sebenarnya mengapa Nabi Muhammad SAW diutus dari kalangan bangsa Arab. Sesungguhnya Nabi SAW adalah insan unggul kerana mampu mengubah sebuah bangsa yang keras hati, tegas dengan pendirian sendiri dan sanggup berhadapan dengan apa juga risiko ke arah Islam. Sifat-sifat yang disebutkan tadi adalah faktor utama bagaimana Islam boleh tersebar dengan cepat selama 23 tahun ke seluruh Jazirah Arab.  Jika Nabi SAW dari kalangan Melayu mungkin masa yang diambil lebih lama.

Sesungguhnya kehadiran Islam memperbaiki akhlak mereka, yang sebelum itu sifat-sifat di atas hanya membawa mereka ke arah permusuhan dan pergaduhan yang tidak berkesudahan. Nyata dengan hadirnya Islam, sifat-sifat tadi dieksploitasi sepenuhnya untuk dakwah Islam. Sebab itu, ada perkataan yang agak biasa saya dengar, “Di negara Arab ni, boleh cari sebaik-baik manusia, dan boleh juga cari sejahat-jahat manusia”. Memang benar ayat ini, kerana apabila individu itu tidak dipandu dengan iman, maka berleluasalah kes-kes Arab tipu, curi, bunuh dan sebagainya. Sebagaimana hadith Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW. bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad)

Kesimpulannya, janganlah kecewa kerana kita tidak dilahirkan sebagai bangsa Arab yang mampu memahami al-Quran secara langsung ketika membacanya, tetapi bersyukurlah dengan syukur yang sebenar bahawa kita dilahirkan sebagai muslim yang beriman. Orang Arab juga punya kekurangan, tetapi Nabi SAW punya segala kelebihan. Dalamilah segala ilmu al-Quran dengan sedalamnya kerana itulah sumber ilmu, panduan, peringatan, berita gembira dan segalanya buat umat Islam di samping hadith Nabi SAW. Genggamlah keduanya, ibarat menggenggam bara, biar sampai jadi abu!

SALAM ‘IDULFITRI 1433H

Saya, Husna Husain dan suami Azhan Rashid Senawi serta anak-anak memohon ampun dan maaf  atas segala salah dan silap yang pernah berlaku antara kita. Semoga ukhuwwah berpanjangan dan kita sentiasa istiqamah dengan Islam sehingga akhir hayat, Insya Allah.

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM SOLIHAL A’MAL…

Semoga Allah menerima amal soleh kita semua, amiin..

Hadith Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَت:
دَخَلَ عَلَيَّ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ بِهِ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ قَالَتْ وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَبِمَزْمُورِ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا

Dari Aisyah r.a katanya:Abu Bakar datang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar:Kenapa sampai ada seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w ? Hari itu adalah hari’Id. Maka bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya (˜Id) dan hari ini adalah hari raya kita.”                     (Riwayat Muslim)