Hadith Bimbingan

5. BERHATI TEGUH MENGHADAPI KESULITAN

Dari Riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Amat takjub keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu hanya ada pada orang beriman. Jika memperoleh kesenangan dia bersyukur. Dan itu memberikan kebaikan kepadanya. Kalau ditimpa bahaya dia sabar (berhati teguh), dan itu membeikkan pula kepadanya.”

Huraian

Kelebihan bagi orang yang beriman ialah dia mampu mengawal dirinya pada setiap keadaan dan ketika, dan menganggap segala yang berlaku ada kebaikannya tersendiri.

4. IRINGI KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

Daripada Abu Zar Jundub Ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’az ibn jabal r.a, daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda; ” Bertaqwalah kamu kepada Allah walaupun di mana kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik”  (Riwayat Tirmizi)

Huraian;

Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Kekadang kita tersasar melakukan dosa, hapuskanlah ia dengan melakukan kebaikan walaupun kecil. Namun, perlu diingat bahawa dosa syirik kepada Allah tidak termasuk dalam kategori kejahatan ini.

3. ORANG BAKHIL YANG SEBENAR

Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku”             (Riwayat Tirmizi)

Huraian:

Orang berkenaan dianggap bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada mendapat selawat Allah s.w.t untuknya jika ia berselawat sekali untuk baginda Rasulullah s.a.w. Aplikasinya, selawatlah bila mendengar nama baginda disebut. Wajib sekali disambut selawat jika terdapat pengulangan yang banyak dalam nama baginda. Selebihnya sunat.

2. DUA HASAD YANG DIBOLEHKAN

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a, Nabi s.a.w bersabda:”Tiada hasad kecuali dalam dua perkara. lelaki yang Allah berikan kepadanya harta yang banyak, maka dia menghabiskannya pada jalan yang hak, dan lelaki yang Allah kurniakan kepadanya hikmah (kebijaksanaan) dan dia menggunakannya dan mengajarnya”

Huraian

Hasad di sini bermaksud perasaan tidak senang hati melihat kelebihan yang Allah kurniakan kepada orang lain dalam konteks di atas, lantas menggerakkan semangat untuk bergerak menyaingi kemampuan mereka. Hasad yang membawa ke arah perbuatan yang mungkar dan syirik adalah jelas salah dan bertentangan.

1. MESTI MENGAMALKAN ISLAM WALAUPUN DALAM KEADAAN TERASING

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Islam bermula dalam keadaan terasing. Ia akan kembali asing seperti permulaannya. Maka, berbahagialah untuk orang yang terasing.” (riwayat muslim)

Huraian
Mereka mendapat kebahagiaan kerana mendapat ganjaran atas kesabaran menghadapi kesusahan ketika berada dalam keadaan terasing.

One thought on “Hadith Bimbingan

Apa dalam minda anda?