‘Ibrah Daripada PJJ

Apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita, ada hikmahnya yang besar jika kita melihatnya secara positif. Sebab itu ALlah mengatakan kepada kita bahawa Dia tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehinggalah kaum itu sendiri mengubah apa yang ada di dalam dirinya. Perubahan yang dimaksudkan dalam ayat ALlah ini tentunya perubahan ke arah yang positif, natijah daripada melihat dan merenung serta muhasabah ke dalam diri tentunya dengan cara yang POSITIF! Jika tidak, pandangan negatif dan rintihan kesedihan yang berterusan tidak membawa seseorang itu ke mana-mana kecuali kemurungan dan kesedihan.

Allah telah mentakdirkan saya dan suami menghadapi kehidupan berasingan (tterpisah dengan jarak) dalam tempoh yang mungkin tidak begitu lama sekitar setahun 9 bulan. Kami yang bersepakat dan bersetuju dengan pilihan ini, dan masing-masing bersedia. Alhamdulillah, tempoh ini adalah saat2 yang sukar dalam kehidupan masing-masing, namun memberikan kesan mendalam kepada diri saya khususnya. Allah memberi saya ujian ini, agar saya mendapatkan dan belajar sesuatu. Ya, banyak sekali yang saya belajar, yang saya baru sedar, yang saya rasai dalam tempoh ini.

Mengenali hakikat ‘ubudiyyah yang sebenar.

PJJ ini menyedarkan saya bagaimana penghayatan yang sepatutnya saya rasai sebagai hamba-Nya. Saya disentak oleh Allah bahawa selama ini tanpa sedar kehadiran suami dalam hidup, seolah-olah selama ini saya menjadikannya andaada atau sekutu dengan Allah. Bukanlah bermaksud selama ini saya menghambakan diri kepada suami, tetapi kehadirannya menyebabkan kebergantungan kepada suami kadang kala melebihi kebergantungan diri kepada Allah. Apabila suami tiada di sisi barulah saya sedar hakikat kealpaan saya selama ini. Justeru, PJJ ini mengingatkan saya bahawa saya perlu berusaha lebih keras agar tumpuan dan fokus pergantungan kepada Allah itu sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan dengan amalan-amalan yang boleh saya lakukan seperti qiyamullai, puasa sunat, tadabbur al-Quran dan sebagainya. Suami itu hanyalah manusia biasa sama seperti kita yang Allah berikan keistimewaan qiwamah padanya, bukannya ubudiyyah.

Merasai Peritnya Menjadi Ibu Tunggal

Saya juga merasai bagaimana rasanya menjadi seorang isteri yang ditinggalkan suaminya sama ada suami itu meninggal dunia, atau bercerai atau ditinggalkan tanpa tali dan sebagainya. Perit yang saya rasai itu bukanlah keperitan dari sudut ekonomi, tetapi keperitan emosi khususnya dalam mendidik anak-anak. Apatah lagi jika si ibu tiada sumber ekonomi yang kukuh, keperitannya berganda-ganda. Mendidik anak tanpa suami adalah satu perjuangan besar. Ibu mampu memberi kasih sayang dan kelembutan, tetapi dalam masa yang sama himmah si ayah juga sangat penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Mendidik anak untuk melakukan solat, belajar al-Quran, dan sebagainya lebih mudah dengan penyeliaan daripada seorang ayah berbanding ibu. Anak-anak lebih mudah mengikut arahan bapa berbanding ibu.

Justeru, ibu-ibu tunggal ini adalah golongan yang sangat memerlukan bantuan dan keprihatinan daripada masyarakat dan pihak kerajaan. Islam juga sangat menitikberatkan perihal anak yatim, salah satu hikmahnya adalah untuk mengurangkan bebanan ibu tunggal. Bantulah mereka semampunya.

Allah Menghilangkan  Satu Suami Dari Sisi, Tetapi Menggantikannya Dengan Ribuan Tangan Yang Mahu Membantu

Allah Maha Penyayang. Begitulah Dia. Namun hikmah ini hanya akan hadir jika kita tidak memencilkan diri daripada masyarakat dan orang ramai. Hubungan baik dengan manusia perlu dijaga, barulah bantuan akan datang arah yang tidak disangka-sangka. Memencilkan diri dan memutuskan hubungan dengan masyarakat hanya menambah keperitan dalam hidup. Warnai kehidupan dengan berinteraksi sesama jiran tetangga dan masyarakat. Sertai aktiviti bersama, berikan bantuan mengikut kemampuan, di samping sentiasa memelihara kehormatan diri Pada berinteraksi itu, tersimpan himpunan hikmah baik yang berpanjangan, insyaAllah.. 🙂

PJJ yang perit tetapi indah..

Apa dalam minda anda?